KOTA BHARU, 11 November - Program Hari Organisasi Mahasiswa (HOMSIS) telah berjaya dianjurkan oleh City Campus Representative (CCR) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu pada hari Isnin, 10 November 2025. Program ini berlangsung bermula jam 8.00 pagi hingga 3.30 petang bertempat di perkarangan UiTM Cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu dengan penyertaan terbuka kepada semua mahasiswa kampus tersebut.
Program HOMSIS bertemakan “Amplifying Teamwork Through Unity Light” ini bertujuan memperkenalkan kelab dan persatuan yang terdapat di UiTM Cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu kepada mahasiswa baharu serta menggalakkan penglibatan aktif mahasiswa dalam aktiviti berpersatuan, kepimpinan dan keusahawanan. Program ini turut menjadi platform pendedahan awal kepada mahasiswa terhadap ciri-ciri penting seorang pekerja yang kompeten dan berdaya saing dalam industri, selaras dengan usaha melahirkan graduan holistik dan berketerampilan.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi menarik minat dan penyertaan mahasiswa, termasuk pameran gerai kelab dan persatuan, sesi interaksi bersama ahli jawatankuasa, serta aktiviti berbentuk kepimpinan, sains, teknologi dan inovasi. Penglibatan aktif daripada para peserta jelas menunjukkan sambutan yang menggalakkan terhadap program ini, sekali gus mencerminkan minat mahasiswa untuk melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti organisasi di kampus.
Program ini juga selaras dengan Petunjuk Prestasi Utama Pendidikan Tinggi (PI HEP), khususnya PI029 yang menekankan bilangan program kepimpinan serta PI036 yang melibatkan penyertaan pelajar dalam program industri kreatif. Selain itu, HOMSIS turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 4: Quality Education melalui pemindahan pengetahuan dan peningkatan kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan penglibatan berpersatuan, serta SDG 16: Peace, Justice and Strong Institutions yang menekankan tadbir urus organisasi yang baik dan sistematik.
Keseluruhan perjalanan program berlangsung dengan lancar dan teratur hasil kerjasama yang baik antara pihak penganjur, penasihat program iaitu Cik Che Surmaiza Yaacob dan Encik Suhaidi Shapiin, serta barisan jawatankuasa pelaksana. Program ini telah diketuai oleh Saudara Ahmad Daneal Ismail selaku Pengarah Program. Diharapkan penganjuran Hari Organisasi Mahasiswa (HOMSIS) ini dapat memberi impak positif kepada mahasiswa serta menjadi pemangkin kepada penglibatan aktif dalam aktiviti kepimpinan dan organisasi pada masa akan datang.
Penyedia Laporan:
Saudara Ahmad Daneal Ismail
Pengarah Program
Hari Organisasi Mahasiswa

