MACHANG, 16 November - Karnival Rakan Muda UiTM Cawangan Kelantan 2025 merupakan penganjuran bersama Sekretariat Rakan Muda, Jawatankuasa Sukan Pelajar dan Unit Sukan UiTM Cawangan Kelantan bagi memperkasakan penyertaan pelajar dalam aktiviti kesukarelawanan, sukan, rekreasi dan kebudayaan. Program ini juga menyokong agenda Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam memperkukuhkan jenama Rakan Muda sebagai platform pembangunan sahsiah, kemahiran insaniah dan perpaduan belia universiti.
Penganjuran ini turut membuka ruang kepada pelajar untuk membina jaringan sosial bersama agensi luar serta persatuan sukan dan belia. Sebanyak tujuh rakan strategik terlibat dalam menjayakan program ini, termasuk Persatuan Jurulatih Rekreasi Malaysia, Giat MARA Machang, Red Lions Petanque Club, Red Lions Handball Club, Kyns Fragrance, MB Clothing dan AMK SlingShot.
Program ini menampilkan tujuh jenis sukan iaitu karrom, petanque, slingshot, penalti futsal, penalti bola baling, servis motor, abseiling dan wall climbing. Penyertaan bagi acara slingshot dan karrom turut dibuka kepada komuniti luar yang hadir memeriahkan pertandingan. Dalam masa yang sama, gerai jualan turut dibuka di kawasan parkir Kolej Tun Dr. Mahathir, menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman kepada para pengunjung.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli bersama tetamu jemputan. Gimik perasmian bertemakan mirror ball menyerikan lagi suasana dan menjadi tarikan utama pada hari tersebut.
Dengan berlangsungnya program selama dua hari ini, berakhirlah Karnival Rakan Muda UiTM Cawangan Kelantan 2025 dengan penuh kemeriahan dan kejayaan. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat atas sokongan dan komitmen yang diberikan.
Penyedia Laporan:
Saudari Nur Rania Almaz Ahmad Addy@Azhar
Setiausaha Program
Karnival Rakan Muda

