KUANTAN, 16 November - Program Karnival KPDN Zon Timur 2025 telah diadakan dengan jayanya pada 24 hingga 25 Oktober 2025 bertempat di Kuantan, Pahang. Program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ini menghimpunkan pelbagai agensi di bawah kementerian tersebut serta institusi pengajian tinggi dari seluruh Zon Timur. Seramai 24 orang ahli Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS) dari UiTM Cawangan Kelantan telah terlibat secara aktif dalam program ini.
Objektif utama penyertaan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai hak dan tanggungjawab sebagai pengguna bijak, meningkatkan kefahaman terhadap peranan agensi-agensi di bawah KPDN, serta memupuk semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar. Di samping itu, program ini turut bertujuan mewujudkan jaringan kerjasama strategik antara universiti dan agensi kerajaan dalam memperkasakan agenda kepenggunaan negara.
Antara aktiviti menarik yang dijalankan ialah lawatan ke booth pameran daripada pelbagai agensi di bawah KPDN seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta beberapa agensi lain. Para peserta bukan sahaja melawat, tetapi turut menyertai aktiviti kuiz dan sesi soal jawab di setiap booth. Peserta yang memberikan jawapan dengan betul telah menerima hadiah saguhati daripada pihak penganjur, menjadikan aktiviti ini lebih interaktif dan menyeronokkan.
Melalui penyertaan ini, pelajar memperoleh pengetahuan praktikal berkaitan hak pengguna, isu kos sara hidup, dan peranan agensi kerajaan dalam perlindungan pengguna. Selain itu, penglibatan ini turut membantu meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi, dan kemampuan bekerja dalam kumpulan dalam kalangan ahli GPS.
Kesimpulannya, penglibatan Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UiTM Cawangan Kelantan dalam Karnival KPDN Zon Timur 2025 telah berjaya mencapai matlamat yang diharapkan. Program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara universiti dan agensi kerajaan, malah memberi peluang kepada mahasiswa untuk menjadi pengguna yang berilmu, peka dan bertanggungjawab. Diharapkan penyertaan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan mahasiswa UiTM yang cakna terhadap isu kepenggunaan dan pembangunan ekonomi negara.
Penyedia Laporan:
Saudari Syazwani Alieya Zakaria
Setiausaha
Kelab Gerakan Pengguna Siswa

