MACHANG, 16 November - Program Fine Art – Printmaking Workshop: Lino Mini Print bawah kelolaan Jabatan Seni Halus telah berlangsung dengan jayanya pada 11 November 2025 bertempat di Blok C, Bangunan FSSR, UiTM Cawangan Kelantan. Bengkel ini merupakan salah satu aktiviti sampingan yang diadakan sempena International Workshop and Exhibition “From Ancient Trade to Modern Born: The Art and Culture of China-Malaysia” anjuran Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) UiTM Cawangan Kelantan.
Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan akademik antarabangsa serta membuka ruang perkongsian ilmu dalam bidang seni cetak (printmaking). Seramai 10 orang pelajar daripada program Seni Halus serta 2 orang pensyarah telah menyertai dan memeriahkan bengkel ini. Aktiviti utama bengkel memberi penekanan kepada pendedahan asas teknik printmaking, khususnya proses lino print. Peserta diperkenalkan kepada pelbagai jenis alatan seperti linoleum block, carving tools, roller (brayer), dan block printing ink. Mereka turut diberi penerangan terperinci mengenai teknik ukiran asas, kaedah pemindahan imej ke atas permukaan lino, langkah-langkah keselamatan ketika menggunakan alat ukir, serta proses cetakan menggunakan teknik manual (hand-burnishing).
Sepanjang aktiviti, peserta dibimbing oleh dua orang pensyarah berpengalaman yang juga bertindak sebagai fasilitator, iaitu Puan Siti Safura Zahari dan Puan Nur Fatiyah Roslan. Bimbingan yang diberikan membantu peserta memahami proses kerja dengan lebih sistematik dan meningkatkan keyakinan mereka dalam menghasilkan karya mini lino print yang kreatif dan berkualiti. Secara keseluruhannya, bengkel ini telah mencapai objektif penganjurannya dengan berjaya meningkatkan pengetahuan pelajar terhadap teknik cetakan seni halus, di samping menggalakkan penglibatan aktif dalam aktiviti studio.
Program ini juga berperanan memupuk minat baharu dalam kalangan pelajar terhadap bidang printmaking serta menyemai semangat kerjasama dan interaksi positif antara pelajar dan pensyarah. Bengkel seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha memperkukuh kemahiran teknikal dan pemahaman seni dalam kalangan warga fakulti.
Penyedia Laporan:
Puan Siti Safura Zahari
Pensyarah Kanan
Jabatan Seni Halus
Fakulti Seni Lukis & Seni Reka
Puan Nur Fatiyah Roslan
Pensyarah Kanan
Jabatan Seni Halus
Fakulti Seni Lukis & Seni Reka

