ASEAN Fusion UiTM Cawangan Kelantan 2025 Eratkan Hubungan Serantau dan Memperkasa Mahasiswa Global

ASEAN Fusion UiTM Cawangan Kelantan 2025 Eratkan Hubungan Serantau dan Memperkasa Mahasiswa Global

 

Machang, 27 Oktober – 1 November 2025 – UiTM Cawangan Kelantan melalui penganjuran ASEAN Fusion 2025 bersempena Festival Kolej ke-17 (FESKO-17) telah berjaya memperkukuh hubungan diplomasi pendidikan serta pertukaran budaya antara mahasiswa tempatan dan antarabangsa. Program berimpak global ini menjadi wadah strategik dalam menyemarakkan aspirasi UiTM Global Engagement ke arah pembentukan kampus antarabangsa yang inklusif dan berdaya saing.

Program ini menghimpunkan penyertaan tiga institusi rakan strategik antarabangsa iaitu Cagayan State University (CSU), Filipina, melibatkan enam orang pensyarah dan enam belas pelajar; Guangxi Minzu Normal University (GMNU), China dengan sepuluh pelajar; serta pelajar antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM) yang terdiri daripada tujuh belas pelajar mewakili Jordan, Palestin, Indonesia, Syria, Sudan dan Arab Saudi. Kehadiran delegasi ini melambangkan komitmen UiTM terhadap hubungan serantau dan kolaborasi akademik melalui platform kebudayaan, pendidikan dan mobiliti pelajar.

Sepanjang tempoh enam hari, pelbagai aktiviti akademik, sosial dan kebudayaan telah diadakan dengan kerjasama Office of International Affairs (OIA) UiTM Cawangan Kelantan, Department of International Affairs (DIA), UiTM Global, serta AJK Pelaksana Induk FESKO-17. Antara aktiviti utama ialah Majlis Alu-Aluan Delegasi Antarabangsa, diikuti lawatan ke Rumah Tiang 12, bengkel Tarian dan Muzik Tradisional Melayu, lawatan industri ke SRZ Ternak Ladang Tenusu Jeram Mengaji Pasir Puteh, serta aktiviti kreatif “VLOG: Exploring Kota Bharu City” di sekitar Pasar Besar Siti Khadijah. Delegasi turut menyertai International Bonding Night JPKNR, yang mempertemukan pelajar antarabangsa dengan mahasiswa UiTM dari seluruh Malaysia.

Majlis Perasmian ASEAN Fusion 2025 telah diadakan pada 1 November 2025 (Sabtu) di Mini Theatre UiTM Cawangan Kelantan dan disempurnakan oleh Prof. Ts. Dr. Norhayati Baharun, Director, Department of International Affairs (DIA), UiTM Global. Majlis turut dihadiri oleh Profesor Dr. Mohd Afandi Mat, Rektor UiTM Cawangan Kelantan; Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP); pegawai-pegawai UiTM Global serta wakil antarabangsa. Seusai perasmian, para tetamu dan delegasi diraikan dalam jamuan rasmi di Premier Lounge UiTM Cawangan Kelantan sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan penyertaan mereka dalam program ini.

Sebagai simbol jalinan kerjasama antarabangsa, Sijil Penghargaan Rakan Strategik dalam Penglibatan Kampus Global telah disampaikan kepada tiga institusi iaitu School of Medical Sciences, Universiti Sains Malaysia, Cagayan State University (Filipina) dan Guangxi Minzu Normal University (China). Sijil tersebut ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, YBhg. Profesor Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, sebagai pengiktirafan rasmi UiTM terhadap sumbangan dan sokongan rakan antarabangsa dalam menjayakan FESKO-17 serta inisiatif Global Campus Engagement.

Delegasi antarabangsa turut mempersembahkan persembahan khas semasa Majlis Perasmian Penutup FESKO-17 di Medan Ilmu UiTM Cawangan Kelantan, dengan pelajar Cagayan State University mempersembahkan tarian dan lagu tradisional Filipina dalam busana kebangsaan (Barong Tagalog dan Filipiniana), manakala pelajar Guangxi Minzu Normal University mempersembahkan persembahan kebudayaan China yang penuh warna dan bermakna. Persembahan tersebut menjadi simbolik penutup program yang menggambarkan semangat persahabatan serta pertukaran budaya antara UiTM dan universiti antarabangsa.

Secara keseluruhannya, penganjuran ASEAN Fusion 2025 bukan sekadar memperkukuh hubungan antarabangsa, malah membuktikan keupayaan UiTM Cawangan Kelantan menganjurkan program berimpak tinggi yang menyatukan elemen akademik, budaya dan diplomasi pelajar dalam satu platform global. Ia sekaligus memperkasa peranan UiTM sebagai institusi pendidikan unggul yang memupuk nilai keterbukaan, empati budaya dan semangat “Unity Through Culture and Education.”


Penulis laporan:
Saudara Adam Mansor
Pengarah Program
Festival Kolej ke 17 (FESKO 17)