Siri 2 Kuliah Kitab: At-Tibyan fi Adab Hamalat Al-Quran (Karangan Imam Nawawi)

Siri 2 Kuliah Kitab: At-Tibyan fi Adab Hamalat Al-Quran (Karangan Imam Nawawi)

MAHCANG, 1 Disember - Kitab At-Tibyān fī Ādāb Ḥamalat al-Qur’ān merupakan karya penting Imam al Nawawi yang membicarakan adab dan etika para penghafaz, pembaca dan penuntut al-Qur’an. Dalam era moden yang penuh cabaran, penghayatan terhadap adab bersama al-Qur’an amat penting untuk membentuk generasi yang bukan sahaja celik huruf al-Qur’an, tetapi juga berakhlak dengan akhlak al-Qur’an. Program ini bertujuan menghidupkan semula tradisi talaqqi dan pengajian kitab turath dalam kalangan warga Fakulti Sains Komputer dan Matematik.

Program Siri kuliah Kitab At-Tibyān fī Ādāb Ḥamalat al-Qur’ān diadakan bagi mencapai objektif untuk menyemai adab dan akhlak yang betul dalam kalangan pembaca dan penghafaz al-Qur’an, bagi memahami kandungan kitab At-Tibyān secara berstruktur dan berautoriti, meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab sebagai penuntut dan pembawa al-Qur’an, menghidupkan budaya pengajian kitab klasik dalam kalangan warga FSKM secara khususnya dan warga UiTM Cawangan Kelantan amnya.

Program ini bermula pada pukul 12.00 tengah hari dengan kehadiran para pensyarah daripada Fakulti Sains Komputer dan Matematik serta Fakulti Sains Maklumat. Majlis ilmu ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Program, Dr. Fadila Normahia Abd Manaf. Seterusnya, program diteruskan dengan penyampaian kuliah oleh Ustazah Dr. Shafiza Safie, Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS).

Antara intipati kuliah kitab yang dibawakan adalah berkaitan Pengajian Kitab At-Tibyān fī Ādāb Ḥamalat al-Qur’ān, iaitu perbahasan mengenai adab para pembaca al-Quran dalam menghidupkan interaksi berkualiti bersama Kitabullah sebagaimana yang dihuraikan oleh Imam al-Nawawi. Antara tajuk utama yang ditekankan dalam kuliah tersebut termasuklah himpunan kelebihan membaca al-Quran dan keutamaan para penghafaznya; keistimewaan pembaca al-Quran berbanding amalan lain; kewajipan memuliakan ahli al-Quran dan larangan menyakiti mereka; adab guru serta penuntut ilmu; adab-adab bagi para penghafaz dan pembaca al-Quran; adab seluruh manusia terhadap al-Quran; himpunan ayat dan surah yang sunat dibaca pada waktu atau keadaan tertentu; serta perbahasan mengenai penulisan al-Quran dan kewajipan memuliakan mushaf.

Majlis berakhir dengan sesi bergambar bersama penceramah dan juga para pensyarah. Program tamat pada jam 1.00 tengah hari. Secara keseluruhannya, program ini telah berjalan dengan lancar. Melalui program ini, para peserta mendapat pendedahan, dan meningkatkan ilmu pengetahuan. Semoga program ini dapat dijalankan secara berterusan dan lebih ramai yang dapat menyertainya agar ilmu yang diperolehi dapat dijana ke arah kebaikan diri, UiTM khasnya dan negara amnya. 

Penyedia Laporan:
W. Nurfahizul Ifwah W. Alias
Setiausaha Program