Program Agihan Daging Sebanyak 1,000kg: Wadah Pembangunan Komuniti

Program Agihan Daging Sebanyak 1,000kg: Wadah Pembangunan Komuniti

MACHANG, 27 November - Program Agihan Daging Korban anjuran UiTM Cawangan Kelantan dengan kerjasama dan tajaan Kembara Korban 1001 Asnaf telah berlangsung dengan jayanya pada 7 Ogos 2025 bertempat di Foyer Pentadbiran, UiTM Cawangan Kelantan. Program berfokuskan kesejahteraan komuniti ini menyaksikan sebanyak 1,000 kilogram daging korban diagihkan kepada pelbagai wakil masyarakat setempat.

Majlis bermula pada jam 8.30 pagi dengan kehadiran para jemputan, disusuli kata aluan oleh Profesor Dr. Mohd Afandi Mat Rani, Rektor UiTM Cawangan Kelantan. Ucapan turut disampaikan oleh Encik Mohd Khairul Afifi Rosli, Pengarah Urusan Kembara Korban 1,001 Asnaf Sdn. Bhd. Majlis seterusnya dirasmikan oleh YBhg. Datuk Seri Haji Ahmad Jazlan Yaakub, Pemimpin Komuniti Machang. Turut hadir ialah YB Datuk Wan Rakemi Wan Zahari, Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, sebagai wakil penerima bagi komuniti daerah tersebut.

Agihan daging korban melibatkan wakil-wakil daripada pelbagai institusi dan komuniti termasuk DUN Galas, Nenggiri, Jeli dan Tanah Merah; Masjid Al-Bakti, Masjid Banggol Judah, Masjid Bukit Tiu; sekolah di kawasan Pangkal Jenereh; serta komuniti Kenduri Rakyat dan Hari Keluarga UiTM. Agihan turut diberikan kepada staf dan pekerja kontrak UiTM Cawangan Kelantan, selaras dengan usaha universiti menghargai sumbangan warga kerja kampus.

Pelaksanaan program ini berasaskan keprihatinan terhadap komuniti setempat yang memerlukan serta keinginan untuk memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara UiTM dan rakan luar. Inisiatif ini bukan sahaja menzahirkan tanggungjawab sosial universiti (USR), tetapi juga menyokong keterlibatan masyarakat secara lebih menyeluruh melalui amalan saling berkongsi rezeki dan semangat kebersamaan.

Majlis berakhir pada jam 11.00 pagi dengan sesi bergambar bersama tetamu kehormat dan para penerima. Secara keseluruhan, program ini berjaya memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti, selain menzahirkan komitmen UiTM terhadap usaha kebajikan dan pembangunan sosial di peringkat lokal.

Penyedia Laporan:
Dr. Wan Noraswaniaty Wan Ahmad
Koordinator
ICAN 

Dr. Siti Rosnita Sakarji
Penyelaras
Unit Jaringan Komuniti