MACHANG, 27 November - Program Training of Trainer: Disaster Risk Reduction telah berlangsung pada 8 dan 9 Oktober 2025 bertempat di HRD A, UiTM Cawangan Kelantan. Program ini dianjurkan oleh Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (BPJIM&A) dengan kerjasama UiTM MERCY Resilient Community Center (UMRCC) UiTM Cawangan Perak serta MERCY Malaysia. Penganjuran ini menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang bagi memperkukuh ilmu dan kompetensi dalam pengurangan risiko bencana serta pengurusan kecemasan komuniti.
Program selama dua hari ini dirasmikan oleh Profesor Dr. Mohd Afandi Mat Rani, Rektor UiTM Cawangan Kelantan. Dalam ucapan perasmian, beliau menegaskan kepentingan kesiapsiagaan bencana khususnya di negeri Kelantan yang saban tahun berdepan risiko banjir. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UiTM Cawangan Perak dan MERCY Malaysia atas perkongsian kepakaran, serta menyeru lebih ramai warga universiti tampil sebagai sukarelawan untuk memperkukuh keprihatinan sosial dan daya tindak kecemasan komuniti.
Penganjuran program ini berasaskan beberapa isu utama yang dikenal pasti di peringkat universiti dan komuniti, termasuk tahap kesediaan awam yang tidak seimbang, kurangnya pendedahan terhadap pengurusan bencana secara terancang, serta keperluan membina pelan tindakan yang lebih sistematik di kawasan berisiko. Justeru, program ini dirangka sebagai usaha memperkasa pengetahuan, latihan praktikal dan koordinasi antara universiti serta organisasi kemanusiaan.
Sepanjang program, peserta dibimbing oleh penceramah dan fasilitator berpengalaman dari UiTM Cawangan Perak, MERCY Malaysia Perak Chapter, dan MERCY Malaysia Kelantan. Mereka berkongsi input berkaitan pengurangan risiko bencana, pengurusan kecemasan, teknik respons awal, serta pembentukan komuniti berdaya tahan. Turut diadakan sesi perkongsian oleh Encik Faiz Iskandah, Penyelaras Jawatankuasa Operasi Bencana dan Keselamatan (JOBN) UiTM Cawangan Kelantan, mengenai pengurusan bencana di kampus serta kesiapsiagaan jabatan terhadap insiden kecemasan.
Program ini merangkumi sesi teori, latihan simulasi bencana, dan perbincangan berkumpulan, yang menekankan peranan penting setiap individu dalam situasi kritikal. Penganjurannya selari dengan aspirasi UiTM untuk membentuk masyarakat kampus yang berilmu, berdaya tahan dan responsif terhadap risiko bencana, di samping memupuk semangat kesukarelawanan sebagai tunjang kekuatan komuniti.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya meningkatkan pengetahuan peserta dalam pengurusan risiko bencana, memperkukuh jaringan antara UiTM dan organisasi kemanusiaan, serta menyumbang kepada pembinaan kapasiti komuniti yang lebih bersedia menghadapi cabaran bencana pada masa hadapan.
Penyedia Laporan:
Dr. Wan Noraswaniaty Wan Ahmad
Koordinator
ICAN

