'UiTMCK Students Embracing Entrepreneurship Beyond Borders'

'UiTMCK Students Embracing Entrepreneurship Beyond Borders'

SURABAYA, 8 September – Entrepreneurial Activity menjadi salah satu pengisian utama dalam program International Accounting Beyond Borders (IABB) 4.0: Academic Expedition yang dianjurkan oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Semester 7 UiTM Cawangan Kelantan dengan kerjasama Fakulti Perakaunan UiTMCK, Members of Bachelor in Accountancy Society (MemBACCs) dan Universitas Pertahanan Nasional “Veteran” Jawa Timur, Indonesia pada 29 Ogos 2025.

Program ini membuka ruang kepada pelajar untuk menerapkan pengetahuan perakaunan dalam situasi sebenar, sekali gus memperkukuh keupayaan mereka sebagai bakal akauntan profesional yang bukan sahaja cekap dalam angka, malah berfikiran strategik.

Sebagai usaha kreatif mengumpul dana, para pelajar telah menubuhkan sebuah entiti perniagaan yang dinamakan “Accountasty Stall”. Setiap pelajar menyumbang RM30 sebagai modal permulaan, dan modal tersebut digunakan untuk menjayakan aktiviti jualan yang menjadi tunjang utama pengumpulan dana. Hasil keuntungan pula dimanfaatkan bagi menampung penyertaan mereka dalam program Academic Expedition serta inisiatif University Social Responsibility (USR) di Surabaya, Indonesia.

Penubuhan “Accountasty Stall” bukan sekadar platform penjanaan dana, malah berfungsi sebagai medan pembelajaran berharga dalam mengasah kemahiran keusahawanan pelajar. Melalui pengalaman ini, mereka didedahkan kepada aspek pengurusan kewangan, strategi pemasaran, perancangan operasi, serta kepentingan kerjasama berpasukan.

Sepanjang perjalanan inisiatif ini, pelajar turut menerima bimbingan berterusan daripada barisan penasihat yang terdiri daripada pensyarah Fakulti Perakaunan UiTMCK iaitu Dr. Siti Haliza Asat, Puan Muhaniza Zainal Ariffin, Cik Siti Nor Adawiah Hussin, Puan Wan Roshaini Wan Ali, Puan Rabaatul Azira Hasan, dan Puan Syuhaila Razak.

Setibanya di Surabaya, pelajar berpeluang meninjau secara langsung operasi perniagaan di beberapa lokasi strategik termasuk Mirota Batik & Handicraft Surabaya serta Tunjungan Plaza, pusat beli-belah ikonik yang menjadi pemacu ekonomi moden Jawa Timur. Lawatan ini memberikan pengalaman pembelajaran autentik tentang strategi pemasaran runcit, penggunaan teknologi, pengurusan operasi dan keberkesanan rantaian bekalan pada skala besar. Pemerhatian ini sekaligus memperkukuh kefahaman pelajar terhadap bagaimana prinsip perakaunan dan strategi perniagaan saling melengkapi dalam menentukan kejayaan sesebuah organisasi.

Selain penguasaan aspek teknikal perakaunan, pengalaman ini turut memperkayakan kemahiran insaniah pelajar termasuk pemikiran kritis, kreativiti, kepimpinan serta kebolehan beradaptasi dalam persekitaran global.  Inisiatif ini sejajar dengan Pelan Induk Pembangunan Pelajar UiTM (PI029) Leadership dan menyokong aspirasi Sustainable Development Goals (SDG) khususnya SDG 8 (Decent Work and Economic Growth) yang menekankan pembangunan ekonomi inklusif dan mapan.

Secara keseluruhannya, Entrepreneurial Activity ini membuktikan bahawa pelajar UiTMCK dalam bidang perakaunan bukan sekadar cemerlang dalam ilmu akademik, tetapi juga bersedia menjadi pemimpin masa depan serta agen perubahan yang berdaya saing di persada antarabangsa.

Penyedia Laporan:
Saudari Asma’ Mohd Fouzi
Setiausaha
Program International Accounting Beyond Borders (IABB) 4.0: Academic Expedition