SURABAYA, 4 September – Program International Count on Success (I-CoS) berjaya dilaksanakan oleh mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Semester 7 UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) dengan kerjasama Fakulti Perakaunan UiTMCK, Members of Bachelor in Accountancy Society (MemBACCs), serta Persatuan Himpunan Mahasiswa Akuntansi, Universitas Pembangunan Nasional “Veteran” Jawa Timur (UPNVJT). Program ini merupakan antara pengisian utama International Accounting Beyond Borders (IABB) 4.0: Academic Expedition yang diketuai oleh Saudara Muhammad Hanif Nazmi Romeli selaku Pengarah Projek dan bertujuan memperkukuh jaringan akademik antarabangsa pada 27 Ogos 2025.
Menariknya, I-CoS yang asalnya diperkenalkan di peringkat sekolah menengah di Kelantan kini telah melangkah ke pentas antarabangsa melalui penganjuran siri ke-3 ini. Pencapaian ini menjadi bukti kepada evolusi program sebagai medium pembelajaran inovatif yang semakin mendapat pengiktirafan.
Program berlangsung di kampus UPNVJT, Surabaya, dengan penyertaan 16 orang mahasiswa UiTMCK, 10 orang wakil mahasiswa Persatuan Himpunan Mahasiswa Akuntansi, serta 46 orang mahasiswa UPNVJT. Pensyarah pengiring daripada UiTMCK yang turut terlibat ialah Puan Wan Roshaini Wan Ali, Dr. Siti Haliza Asat, Cik Siti Nor Adawiah Hussin, Puan Muhaniza Zainal Ariffin, dan Puan Rabaatul Azira Hasan. Kehadiran pensyarah UPNVJT, Puan Astrini Aning Widoretno dan Encik Alfandi Imam Mawardi, turut menyerikan acara sebagai tetamu jemputan.
Antara pengisian utama ialah Accounting Explorace, sebuah aktiviti interaktif yang menampilkan lima checkpoint berasaskan topik asas perakaunan seperti Balance Sheet, Income Statement dan Journal Entries. Aktiviti ini bukan sahaja menguji kefahaman teori, malah memperkukuh kemahiran insaniah seperti kerja berpasukan, pemikiran kritis dan komunikasi rentas budaya. Program turut menampilkan sesi istimewa Accounting Talk oleh Puan Syuhaila Razak dari Fakulti Perakaunan UiTMCK. Beliau merumuskan konsep penting daripada setiap checkpoint dan mengaitkannya dengan dunia profesional sebenar, memberi peserta perspektif jelas tentang kepentingan penguasaan asas perakaunan dalam mendepani cabaran industri.
Sebagai simbol ukhuwah, UiTMCK turut menyampaikan cenderamata rasmi kepada Himpunan Mahasiswa Akuntansi UPNVJT, manakala kumpulan terbaik Accounting Explorace menerima hadiah sebagai tanda penghargaan atas semangat dan dedikasi mereka. Menariknya, para peserta program ini juga menerima cenderamata eksklusif daripada Tourism Malaysia sebagai tanda sokongan terhadap usaha mempromosikan hubungan budaya dan pelancongan di peringkat antarabangsa.
Suasana sepanjang program penuh dengan keceriaan, kolaborasi dan semangat persahabatan. Penyertaan pelajar dari kedua-dua institusi bukan sahaja menambah nilai akademik, malah mengeratkan hubungan dua hala yang berpotensi berkembang ke arah kerjasama strategik lebih luas pada masa depan.
Majlis penutup turut diserikan dengan ucapan oleh Dr. Siti Haliza Asat, Ketua Delegasi UiTMCK, yang menekankan bahawa penganjuran I-CoS di peringkat antarabangsa adalah selari dengan aspirasi UiTM dalam melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan berpandangan global. Dengan penganjuran ini, UiTMCK sekali lagi membuktikan komitmennya memperkukuh jaringan antarabangsa melalui program berimpak tinggi yang menyepadukan aspek akademik, sahsiah dan pembelajaran rentas budaya.
Penyedia Laporan:
Saudari Asma’ Mohd Fouzi
Setiausaha
Program International Accounting Beyond Borders (IABB) 4.0: Academic Expedition

