SURABAYA, 2 September – Program From Malaysia with Love: A University Social Responsibility Mission to Surabaya telah berjaya dianjurkan oleh mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Semester 7 UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) dengan kerjasama Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK), Members of Bachelor in Accountancy Society (MemBACCs), Universitas Pembangunan Nasional “Veteran” Jawa Timur (UPNVJT) serta LKSA Muhammadiyah Medokan Ayu, Surabaya, Indonesia pada 26 Ogos 2025. Program ini merupakan salah satu pengisian istimewa di bawah siri International Accounting Beyond Borders 4.0: Academic Expedition.
Program ini telah dilaksanakan di LKSA Muhammadiyah Medokan Ayu dengan penglibatan seramai 16 orang mahasiswa UiTMCK, 6 orang pensyarah pengiring, 6 wakil pelajar UPNVJT, serta anak-anak yatim sebagai peserta utama. Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu jemputan antaranya ialah Dr. Muhammad Sholeh Masyhoedi, Pengarah Majelis Pembinaan Kesejahteraan Sosial (MPKS) Pimpinan Cabang Muhammadiyah Rungkut dan Encik Suprapto, S.Pd, Pengurus LKSA Muhammadiyah Medokan Ayu. Turut hadir juga wakil daripada UPNVJT Dr. Endah Susilowati, M.Si, Ketua Jurusan Akuntansi UPNVJT serta beberapa wakil pelajar UPNVJT.
Objektif utama program ini adalah untuk menyalurkan bantuan keperluan asas, pendidikan, motivasi dan sokongan emosi kepada anak-anak yatim, di samping memupuk nilai empati, kasih sayang dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa. Pelbagai aktiviti interaktif dijalankan termasuk sesi Ice Breaking, Coloring Activity, Crossword Puzzle, Whisper and Draw Challenge, Tower Cup Challenge, serta perkongsian ilmu bertemakan nilai keagamaan dan kejayaan.
Dalam sesi penyampaian, pihak UiTMCK telah menyampaikan cenderamata, barangan daripada Tourism Malaysia, serta sumbangan daripada UiTMCK dan orang awam kepada pihak LKSA Muhammadiyah Medokan Ayu. Sementara itu, pihak UPNVJT turut menyumbangkan hidangan makanan kepada semua yang hadir, termasuk anak-anak yatim, sebagai tanda kebersamaan dan ukhuwah yang terjalin sepanjang program.
Sepanjang penganjuran, suasana ceria dan penuh kasih sayang dapat dilihat apabila anak-anak yatim berinteraksi rapat dengan mahasiswa UiTMCK dan wakil UPNVJT. Aktiviti yang dijalankan bukan sahaja memberi kegembiraan kepada peserta, malah membantu meningkatkan keyakinan diri, kreativiti, serta semangat kerjasama dalam kalangan anak-anak yatim.
Dari sudut pembangunan pelajar, program ini berjaya mengasah kemahiran insaniah mahasiswa UiTMCK dan UPNVJT seperti kepimpinan, komunikasi rentas budaya, kerja berpasukan, serta kepekaan sosial – selari dengan aspirasi UiTM dalam melahirkan graduan holistik dan berdaya saing global. Pada masa yang sama, ia juga memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa antara UiTMCK, UPNVJT dan komuniti luar negara.
Penganjuran program ini membuktikan bahawa mahasiswa UiTMCK bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga berperanan aktif sebagai duta universiti dalam menyumbang kepada kesejahteraan komuniti global melalui inisiatif khidmat masyarakat yang berimpak tinggi.
Penyedia Laporan:
Saudari Asma' Mohd Fouzi
Setiausaha MemBACCs

