Jabatan Seni Reka Tekstil, Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, UiTM Cawangan Kelantan Melakar Nama di Yala, Thailand

 YALA, THAILAND - Jabatan Seni Reka Tekstil, Fakulti Seni Lukis & Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK) melakar nama di Yala, Thailand setelah mewakili Malaysia melalui penyertaan para pensyarahnya dalam ‘The Melayu Conservation Project 2025 – Pakaian Melayu’ anjuran Majlis Perbandaran Yala di Thailand Knowledge Park, Yala, Thailand pada 23 hingga 25 Mei 2025. Para pensyarah yang terlibat diketuai oleh Ketua Pusat Pengajian iaitu Dr. Nani Hartina Ahmad, Encik Adib Mohd Hassan, Encik Junaidi Awang, Encik Mazlan Mustapha dan Encik Mohd Bakeri Ab Rahman. Program tahunan kali keempat ini adalah jemputan khas dari Jeneral Konsulat Malaysia di Songkhla, Thailand dengan melibatkan aktiviti pameran, jualan dan pertandingan busana berasaskan pakaian Melayu yang bertujuan mengangkat martabat fesyen busana Melayu dari tiga buah negara iaitu Thailand, Malaysia dan Indonesia. Selain daripada itu, program ini juga turut mencungkil bakat dari kalangan peserta dari tiga negara terbabit melalui pelbagai kategori dalam Pertandingan Rekacorak Fabrik, Busana dan Kostum Melayu yang berinspirasikan bandar Yala. Para peserta dikehendaki menggunakan motif-motif tempatan yang terdapat di daerah Yala dari pelbagai unsur sebagai inspirasi penghasilan rekaan masing-masing sebagaimana hasrat penganjur untuk mempromosikan bandar Yala di mata dunia fesyen dan busana antarabangsa.

Kemuncak kepada program ini dengan berlangsungnya acara gilang-gemilang Pertunjukan Fesyen Pakaian Melayu Yala 2025 yang menampilkan lebih daripada 60 orang peragawati dan peragawan, termasuk model antarabangsa dan model tempatan. Pertunjukan ini dijalankan dengan kerjasama daripada institusi fesyen seperti Bangkok FA, jenama YABULAN dan jenama FLY NOW sebagai integrasi kerjasama antara agensi kerajaan seperti Jeneral Konsulat Malaysia di Songkhla, Jeneral Konsulat Republik Indonesia di Songkhla, Pejabat Kebudayaan Wilayah Yala dan Pejabat Pembangunan Masyarakat Wilayah Yala dan  Majlis Perbandaran Yala. Majlis telah dirasmikan secara bersama oleh Encik Supoj Rodruang Na Nongkai, Gabenor Wilayah Yala; Encik Ahmad Fahmi Ahmad Sharkawi, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhlas dan Konsul Jeneral Republik Indonesia di Songkhla. Turut hadir adalah Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan, barisan pentadbir Majlis Perbandaran Yala, ketua-ketua jabatan kerajaan, dan tetamu kehormat serta masyarakat setempat. Projek Galakan Pemuliharaan Pakaian Melayu Tahun 2025 berobjektifkan untuk meningkatkan keupayaan dalam kalangan kanak-kanak, belia dan masyarakat umum supaya mereka dapat memelihara kain bercorak tempatan Melayu, kain bercorak diraja, dan kain tempatan tradisional. Ia juga bertujuan membina kreativiti dalam mereka bentuk corak kain dan pakaian tradisional, serta menyediakan platform kepada masyarakat untuk menunjukkan bakat mereka dalam rekaan pakaian tempatan. Melalui pengetahuan kebudayaan tempatan yang diperoleh, ia mampu mencipta nilai sosial dan menambah nilai ekonomi sehingga dapat menembusi pasaran dalam negara, serantau ASEAN, dan antarabangsa.

Peragaan dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Cawangan Kelantan telah diwakili oleh peragaan dari koleksi Jabatan Seni Reka Tekstil, koleksi Encik Junaidi Awang dan Koleksi Encik Mazlan Mustapha. Penyertaan Jabatan Seni Reka Tekstil pada kali ini turut diserikan dengan kejayaan membawa pulang beberapa hadiah dari kategori yang dipertandingkan iaitu  apabila tiga rekaan telah berjaya memperolehi tempat. Karya bertajuk ‘Fantastic Dragon in Yala’ oleh Kumpulan Encik Mazlan Mustapha dan Dr. Nani Hartina Ahmad telah berjaya mendapat tempat ke tiga Kategori Pertandingan Rekaan Eksesori; karya bertajuk “Movimento’ oleh Encik Mazlan Mustapha juga berjaya mendapat tempat ke dua Kategori Pertandingan Rekacorak Fabrik Lukisan Tangan (Batik) manakala karya bertajul ‘Yala With Love’ oleh Kumpulan Encik Junaidi Awang dan Dr. Nani Hartina Ahmad pula memenangi tempat ke tiga Kategori Pertandingan Rekacorak Fabrik Cetakan Digital.

Program yang telah mendapat liputan meluas media tempatan ini telah memberi peluang kepada Jabatan Seni Reka Tekstil, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Cawangan Kelantan mengangkat dan mempromosi Malaysia di peringkat serantau ASEAN menerusi karya-karya tekstil hasilan inovasi dan kreativiti para pelajar dan pensyarah seterusnya telah mencapai objektif utama dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand melalui platform seni dan budaya seterusnya membuka potensi pasaran produk tekstil UiTM dan Malaysia amnya di Selatan Thailand yang majoritinya terdiri daripada masyarakat Melayu.

 

Penyedia Laporan:
Encik Junaidi Awang
Pensyarah Kanan
Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka