Lawatan Delegasi FSSR UiTMCK ke Galeri Princess Galyani Vadhana Institute of Cultural Studies: Meneroka Kerjasama Dalam Penyelidikan Dan Penerbitan Ilmiah

PATTANI, THAILAND - Princess Galyani Vadhana Institute of Cultural Studies merupakan sebuah institusi berprestij di selatan Thailand yang berperanan penting dalam usaha memelihara, mempromosi dan memperkasa warisan budaya tempatan. Galeri di bawah institut ini berfungsi sebagai ruang pameran seni dan budaya yang memperlihatkan kekayaan tradisi serta kepelbagaian identiti masyarakat Thailand. Usai kunjungan rasmi ke Prince of Songkla University (PSU), Pattani Campus, delegasi Faculty of Fine Art and Design (FSSR), Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK) telah menerima jemputan khas untuk melawat institut berkenaan. Ketibaan delegasi disambut mesra oleh Dr. Chanakit Thanasuk, Director of Princess Galyani Vadhana Institute of Cultural Studies, bersama barisan pengurusan institut iaitu Dr. Nipatimah Hayeehama, Head of Research Center for Culture and Social Innovation, serta Dr. Piti Maneenetra, Deputy Director of Princess Galyani Vadhana Institute of Cultural Studies.

Sepanjang sesi lawatan, delegasi FSSR UiTMCK dibawa melawat galeri yang menampilkan pelbagai bentuk seni visual, kraf tradisional dan artifak bersejarah yang mencerminkan keunikan warisan budaya Thailand. Kunjungan ini bukan sahaja memperluas horizon budaya dalam kalangan warga fakulti, malah turut memperkukuh kefahaman tentang peranan institusi budaya dalam memelihara identiti serantau. Lawatan tersebut turut disusuli dengan sesi perbincangan akademik yang membuahkan beberapa cadangan kerjasama strategik, khususnya dalam bidang penyelidikan dan penerbitan ilmiah. Antara kerjasama yang dibincangkan termasuklah penerbitan bersama dalam jurnal akademik, pelaksanaan projek seni berskala serantau serta penglibatan aktif dalam pameran dan forum budaya antarabangsa.

Delegasi diketuai oleh Dr. Nani Hartina Ahmad, Ketua Pusat Pengajian, FSSR UiTMCK bersama Dr. Siti Fairuz Md Hashim selaku Ketua Projek. Turut serta dalam rombongan ialah Puan Noor Hafiza Ghazali, Ts. Nur Syafinaz Mohd Anuar, Puan Wan Soliana Wan Md Zain, Puan Hartini Mohd Razali dan Puan Mazni Omar. Lawatan ini menjadi pelengkap yang amat bermakna kepada misi akademik dan budaya FSSR, serta membuka lembaran baharu dalam membina hubungan dua hala yang lebih kukuh antara UiTMCK dan Princess Galyani Vadhana Institute of Cultural Studies, terutamanya dalam usaha memperkasa penyelidikan rentas budaya, pertukaran kepakaran dan penerbitan ilmiah berimpak tinggi pada masa hadapan.

 

Penyedia Laporan:
Puan Mazni Omar
Pensyarah Kanan
Fakulti Seni Lukis & Seni Reka