MACHANG, 13 APRIL – Sekretariat Rukun Negara (SRN) UiTM Cawangan Kelantan telah mengadakan lawatan rasmi ke Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Kelantan bagi sesi perbincangan, perkongsian idea dan pelarasan peruntukan program SRN bagi tahun 2025. Dalam sesi tersebut, tiga perancangan program dari pihak Sekretariat Rukun Negara telah dibentangkan, iaitu program Community Connect, Generasi Harmoni: Bangsa Berjaya, dan Rukun Negara Merentasi Sempadan: Bersatu di Bumi Sarawak. Ketiga-tiga program ini menekankan semangat perpaduan dan menggalakkan pelajar untuk menghayati nilai-nilai murni yang terkandung dalam Rukun Negara melalui program berbentuk kesukarelawanan dan aktiviti sosial yang melibatkan komuniti.
Puan Zarina Zakaria, iaitu Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Kelantan menyambut baik perancangan program ini dan yakin ia akan menarik minat pelajar serta menyumbang kepada pembangunan modal insan berdaya saing. Puan Zarina juga turut memberikan pandangan dan cadangan beliau untuk menambahbaik aturcara program agar lebih tersusun, menarik, serta memberi impak yang besar kepada peserta dan juga organisasi yang terlibat.
Pengarah JPNIN turut menyarankan agar kerjasama antara SRN dengan agensi-agensi lain dapat diperkukuhkan, khususnya dalam menyokong pelaksanaan program berteraskan perpaduan. Lawatan rasmi ini diakhiri dengan sesi fotografi sebagai simbolik kepada jalinan kerjasama antara Sekretariat Rukun Negara dan JPNIN yang berterusan.
Penyedia Laporan:
Encik Mohd Azrul Sidek
Penolong Pendaftar Kanan
Unit Residensi & Hospitaliti Pelajar