MACHANG, 14 APRIL 2025 – UiTM Cawangan Kelantan telah menerima kunjungan lawatan penanda aras daripada Unit Psikologi & Kaunseling IPG Kampus Sultan Mizan sebagai satu langkah memperkukuh jaringan profesional dalam bidang psikologi pendidikan dan pembangunan sahsiah pelajar.
Lawatan ini turut melibatkan kehadiran Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Kelantan, barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), wakil Kelab PEERS, pelajar latihan industri serta staf Unit Psikologi & Kaunseling (UPK) UiTM. Seramai lima orang delegasi dari IPG telah mengambil bahagian dalam sesi lawatan pada kali ini.
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk menjalinkan kolaborasi strategik antara kedua-dua institusi serta membuka ruang dialog dua hala melibatkan wakil pelajar seperti MPP, Kelab PEERS dan Pembimbing Rakan Siswa IPG. Perbincangan yang berlangsung menekankan kepentingan budaya sokongan rakan sebaya dan amalan terbaik dalam intervensi psikologi serta program kesejahteraan mental pelajar.
Lawatan ini turut menyaksikan sesi taklimat dan konferensi dua hala yang berjaya menggalakkan perkongsian idea berkaitan pembentukan identiti mahasiswa cemerlang, pelaksanaan intervensi psikososial dan kepimpinan pelajar. Delegasi IPG turut menyatakan kekaguman pihak mereka terhadap sistem kerja dan struktur sokongan psikososial UPK UiTM yang bersifat holistik dan mesra pelajar.
Hasil pertemuan juga telah menghasilkan dua hasrat bersama yang telah disuarakan kepada Timbalan Rektor UiTM Cawangan Kelantan, iaitu perancangan melibatkan 10 buah sekolah angkat di bawah kendalian UiTMCK serta program pengucapan awam yang akan diketuai oleh Encik Haniff. UiTMCK dijangka akan membuat lawatan balas ke IPG Sultan Mizan untuk merealisasikan program tersebut.
Selaku ketua lawatan professional, Puan Zainab ‘Izzah Mahmud ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Timbalan Rektor HEP UiTM Cawangan Kelantan, Yang Berusaha Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli, Ketua Unit Psikologi dan Kaunseling (UPsK IPG Sultan Mizan, Puan Talathiah Che Pa dan Encik Mohd Fakrul Rizal Mohamed Din, saudara Che Mohammad Haniff Che Khalid YDP MPP dan Saudari Aisyah Amani binti Jusoh Presiden kelab PEERS di atas kerjasama dalam merealisasikan lawatan berimpak ini.
Pihak UPK UiTM berharap hubungan kerjasama ini dapat diteruskan secara berkala melalui penganjuran seminar, bengkel pembangunan pelajar, perkongsian kepakaran kaunselor dan pelaksanaan program psikososial rentas institusi.
Program ini dilihat sebagai pemangkin ke arah pembangunan model kerjasama strategik antara institusi pendidikan tinggi yang lebih progresif, holistik dan relevan dengan keperluan semasa. Pihak IPG turut berharap agar pengalaman yang diperoleh dapat membantu mereka membangunkan sistem sokongan psikologi yang mantap serta melahirkan bakal pendidik yang peka emosi dan kompeten dari segi kemahiran kaunseling asas.
Penyedia laporan:
Puan Zainab 'Izzah Mahmud K.B.;P.A
Ketua Unit Psikologi dan Kaunseling