'Invitation from Quanzhou Vocational and Technical University (QVTU) as Visiting Lecturer in English Language Teaching'

CHINA, 26 September - Dua orang pensyarah Bahasa Inggeris daripada Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) telah dijemput oleh Quanzhou Vocational and Technical University (QVTU), China sebagai Pensyarah Pelawat (Visiting Lecturer) pada 5 hingga 17 September 2024. Puan Lai See May dan Puan Rohazlyn Rosly dijemput untuk menghadiri kuliah dan membuat sesi perkongsian kepakaran melalui syarahan dalam bidang akademik serta penyelidikan. Mereka juga terlibat dengan perbincangan kolaborasi penyelidikan antarabangsa dan menghadiri sesi perjumpaan bersama pensyarah dari pelbagai bidang dan kepakaran. Selain itu, mereka turut menjalankan aktiviti bersama pihak Office of International Affairs untuk membuat sesi perkongsian mengenai budaya serta mempromosikan negara Malaysia dan UiTM kepada mahasiswa QVTU yang berminat untuk menyambung pelajaran mereka.

Selain itu, kedua-dua pensyarah diberi peluang oleh Jabatan Bahasa Inggeris QVTU serta School of Education QVTU untuk mengikuti kuliah Bahasa Inggeris yang dijalankan oleh pensyarah-pensyarah yang terpilih dan membuat perkongsian melalui teknik pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dan terkini. Suasana dan persekitaran pembelajaran mahasiswa di QVTU yang sangat berbeza juga membolehkan kedua-dua pensyarah ini mengenalpasti aspek-aspek yang boleh diberi perhatian untuk kemajuan akademik mahasiswa kedua-dua universiti. Sambutan yang diterima serta sokongan yang diberikan oleh para mahasiswa dan pensyarah amat menggalakkan. Mereka juga berpeluang untuk menyaksikan persembahan nyanyian oleh para mahasiswa yang mewakili QVTU dalam pertandingan nyanyian. Para mahasiswa dan pensyarah telah memberi maklum balas yang positif dan berharap agar program seperti ini dapat terus dijalankan pada masa akan datang.

Pihak QVTU juga berharap agar kerjasama dan kolaborasi akademik dan bukan akademik antara QVTU dan UiTM akan terus berkekalan demi kecemerlangan warga kedua-dua buah universiti.

Penyedia Laporan:
Puan Rohazlyn Rosly
Pensyarah Kanan
Akademi Pengajian Bahasa
UiTM Cawangan Kelantan