KUALA LUMPUR, 26 September – UiTM Cawangan Kelantan telah membuat kunjungan ke SME Corporation Malaysia (SME Corp.) pada 12 September 2024 bagi menjalinkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan program pemindahan ilmu (knowledge transfer programme). Kunjungan tersebut yang dicetuskan oleh Research Management Unit (RMU), Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri dan Alumni (BPJIA) adalah bertujuan untuk menyampaikan hasrat RMU bagi membantu pihak SME Corp. mengenalpasti permasalahan yang dihadapi oleh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta membantu menaik taraf kemahiran PMKS dalam pelbagai aspek seperti perakaunan, digital, pemasaran dan sebagainya.
Rombongan kunjungan tersebut diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Nasir Ismail yang menjalankan fungsi sebagai Rektor UiTM Cawangan Kelantan serta diiringi barisan pengurusan yang lain iaitu Dr. Norzieha Mustapha (Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri & Alumni), Ts. Dr. Khalid Abdul Wahid (Penolong Rektor Kampus Kota Bharu), Encik Hishamudin Mohamad Twontawi (Timbalan Pendaftar Kanan), Prof. Madya Dr. Marziana Madah Marzuki (Koordinator Research Monitoring Units (RMU)), Dr. Siti Zulaikha Mustapha (Penyelaras Geran Luar) dan Puan Shalwati Ramli (Penolong Pendaftar Kanan Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri & Alumni).
Kunjungan tersebut telah disambut baik oleh barisan pengurusan SME Corp. yang terdiri daripada En. Zaky Moh, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. serta barisan pengurusan mereka iaitu Encik Nik Syahril Nik Mahmood selaku Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan Bumiputera dan Encik Muhammad Ibrahim sebagai Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan Perniagaan Bumiputera. Turut hadir dalam talian ialah Encik Nazreen Hamad Dani, Pengarah SME Corp. Negeri Kelantan. Sesi pembentangan mengenai peluang kerjasama telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Marziana Madah Marzuki dan telah mendapat maklum balas positif daripada pihak SME Corp. dan akan disusuli dengan beberapa bentuk kerjasama yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Penyedia Laporan:
Prof. Madya Dr. Marziana Madah Marzuki
Koordinator Unit Pengurusan Penyelidikan
Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri
UiTM Cawangan Kelantan