Semarak Sukan: PEWANI UiTM Cawangan Kelantan Harumkan Nama di Karnival Sukan PEWANI Semalaysia 2024

PERLIS, 24 September – PEWANI UiTM Cawangan Kelantan telah berjaya mencatatkan pencapaian yang membanggakan dalam Karnival Sukan PEWANI Semalaysia 2024 yang diadakan di UiTM Cawangan Perlis pada 9 - 11 September 2024. Karnival yang berlangsung selama tiga hari ini bukan sahaja bertujuan mengeratkan ukhwah dan silaturrahim alam kalangan ahli PEWANI dari seluruh negara, malah turut mempromosikan amalan gaya hidup sihat melalui penglibatan dalam aktiviti kesukanan.

Sebanyak 14 orang ahli PEWANI UiTM Cawangan Kelantan telah mengambil bahagian dalam pelbagai acara sukan yang dipertandingkan, antaranya Explorace, Woodball VIP, dan Sukan Tradisional. Para peserta menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi serta kerjasama erat, yang akhirnya membuahkan hasil yang membanggakan.

Antara kejayaan yang diraih oleh PEWANI UiTM Cawangan Kelantan termasuklah Tempat Ketiga dalam Persembahan Sempena Majlis Perasmian Karnival Sukan PEWANI dan Tempat Pertama dalam Persembahan Malam Aloha. Selain itu, Timbalan Rektor PJIA, Dr. Norzieha Mustapha, turut menerima Saguhati Khas (Par dan Birdie) bagi acara Woodball VIP, yang merupakan satu lagi pencapaian berprestij dalam karnival ini.

Kontinjen PEWANI UiTM Cawangan Kelantan diketuai oleh Puan Nur Shaliza Sapi’ai sebagai Ketua Kontinjen, yang telah bersama-sama dengan ahli jawatankuasa lain memastikan kelancaran dan kejayaan kontinjen sepanjang karnival tersebut. Turut serta dalam rombongan ini ialah Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff, Timbalan Pengerusi PEWANI UiTM Cawangan Kelantan bagi sesi 2024-2026, serta mantan Timbalan Pengerusi, YM Dato' Tengku Adida Tengku Zainal Mulok, yang turut memberi sokongan kepada kontinjen.

Kejayaan ini bukan sahaja meningkatkan semangat ahli PEWANI UiTM Cawangan Kelantan, malah menjadi inspirasi untuk kejayaan lebih cemerlang pada masa hadapan. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua peserta yang telah mewakili PEWANI UiTM Cawangan Kelantan dengan penuh semangat dan dedikasi!

Penyedia Laporan:
Cik Siti Nur Adawiah Hussin
Ketua Biro Komunikasi Korporat
PEWANI UiTM Cawangan Kelantan