Program 'Healing' dan 'Bonding' Unit Residensi & Hospitaliti (URHP) UiTMCK 2024

MACHANG, 10 September – Unit Residensi & Hospitaliti (URHP) telah menganjurkan program ‘URHP BONDING & HEALING’ bertempat di Bukit Keluang, Besut Terengganu. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada latihan dan program wajib untuk  mencapai Key Performance Indicator (KPI) individu.

Program riadah seperti ini bukan sahaja dapat meningkatkan “happiness index” dikalangan peserta malah dapat merapatkan silaturrahim. Kesihatan fizikal merupakan faktor penting mendorong ke arah kesihatan mental seterusnya kesihatan emosi. Justeru, keadaan fizikal yang aktif adalah satu keperluan untuk mewujudkan persekitaran yang sihat.

Objektif utama program URHP BONDING & HEALING  diadakan untuk membudayakan amalan gaya hidup sihat,  menggalakkan kerjasama yang lebih erat dalam kalangan warga URHP khususnya serta dapat melepaskan sebentar tekanan kerja sebelum kemasukan pelajar baru pada bulan September ini.                  

Secara keseluruhannya, program seperti ini dapat membina kecerdasan fizikal dengan melibatkan diri secara aktif berdasarkan kebolehan dan kemampuan diri tanpa mengira jawatan. Penglibatan dalam program bercorak kecergasan fizikal dan mental ini  dapat menekankan nilai kepentingan kecergasan dalam kehidupan seharian dan seterusnya mendapat keseronokan dengan melibatkan diri di dalam aktiviti yang diadakan.

Program ini telah melibatkan semua staf URHP di bawah pimpinan Encik Mohd Azrul bin Sidek selaku Ketua Unit. Ucapan terima kasih tidak terhingga juga kepada pihak Pengurusan Kanan UiTM Cawangan Kelantan dan juga kepada Timbalan Rektor HEP atas sokongan bagi menjayakan program ini.

Tahniah dan syabas juga kepada Jawatankuasa Program iaitu staf Pejabat Kolej Tunku Ab Rahman dan Unit Non Residen atas komitmen masa dan tenaga bagi menjayakan program ini.

Penyedia Laporan:
Puan Asmida Ahmad
Penolong Pengurus Asrama Kanan
Bahagian Hal Ehwal Pelajar