Kejayaan MPK UiTM Cawangan Kelantan Dalam Mengekalkan Kejuaraan Perbarisan Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Kelantan Selama 2 Tahun Berturut-Turut

KOTA BHARU, 12 September – Program Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 telah diadakan bertempat di Stadium Muhammad IV peringkat negeri Kelantan pada 30 Ogos 2024. Objektif sambutan ini adalah untuk memperingati jasa dan pengorbanan perwira negara yang telah berjuang demi mencapai kemerdekaan negara yang kita cintai ini. Sambutan ini diserikan dengan nyanyian lagu kemerdekaan, silat, sketsa penjajahan yang terjadi di daerah Pasir Puteh, Kelantan, pertunjukan bunga api serta pantomim daripada anggota pasukan Rejimen ke-5, Rejimen Artileri Diraja.

Majlis pada sebelah malam dimulakan dengan perbarisan masuk padang yang dimulai dengan 12 kontinjen daripada pasukan beruniform utama negara, diikuti dengan 60 kontinjen yang terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi persekutuan dan juga negeri serta syarikat swasta seluruh negeri Kelantan. UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) juga merupakan kontinjen yang turut serta dalam perbarisan pada tahun ini dan diberi giliran kontinjen ke-50 untuk memasuki padang. Kontinjen UiTMCK kali ini diwakili oleh 37 orang komander dan seorang pegawai unit kokurikulum iaitu Lt. (Kest) Mohd Hafiz Zali selaku ketua kontinjen yang juga merupakan jurulatih kontinjen dari Majlis Perwakilan Komander (MPK).

Selepas sahaja perbarisan lintas hormat dilakukan oleh kesemua kontinjen, keputusan pertandingan kontinjen terbaik perbarisan pada tahun ini telah diumumkan dan Alhamdulillah, sekali lagi pada tahun ini kontinjen UiTM Cawangan Kelantan telah dinobatkan sebagai JOHAN kontinjen terbaik perbarisan sekali gus telah mengekalkan kemenangan yang telah dimenangi pada tahun lalu. Kontinjen UiTMCK membawa pulang sebuah piala dan wang ringgit sebanyak RM1,200. Meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran dan persaingan yang sengit, kontinjen UiTMCK berjaya untuk mengekalkan kemenangan dua tahun berturut-turut.

Bukan itu sahaja, kontinjen UiTMCK juga telah diumumkan sebagai kontinjen terbaik perbarisan. Di samping itu, dua orang komander UiTMCK iaitu Komander Fatihah Shuhada dan Komander Muhammad Aqil telah memenangi pertandingan Sukan Rakyat di Awesome Festival bagi tempat pertama dan kedua. Acara ini merupakan acara selingan yang diadakan di luar stadium kepada para pengunjung sementara menunggu sambutan ambang detik 12 malam.

Dengan penglibatan serta kejayaan ini, diharapkan ianya dapat menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan warga UiTMCK.

Syabas dan tahniah diucapkan!

Penyedia Laporan:
Saudari Balqish Ain Natasha Baharuddin
Setiausaha Agung
Majlis Perwakilan Komander
UiTM Cawangan Kelantan