KOTA BHARU, 9 September - Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan (MAIK) telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi Program Pengauditan Masjid seluruh negeri Kelantan. Kerjasama ini telah berlangsung dalam Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) yang bertempat di Hotel Perdana Kota Bharu, jam 8:00 malam pada 3 September 2024.
MoA ini telah ditandatangani oleh Prof. Madya Dr. Mohd Nasir Ismail, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Cawangan Kelantan dan disaksikan oleh Dr. Norzieha Mustapha, Timbalan Rektor PJIA yang mewakili UiTM Cawangan Kelantan, manakala bagi pihak MAIK pula ditandatangani oleh Dr. Hasnan Haji Ramli selaku Timbalan Yang Dipertua MAIK dan disaksikan oleh Dr. Haji Muhamad Hana Pizi Haji Abdullah selaku Imam Besar Negeri Kelantan.
Antara intipati MoA ini adalah untuk melantik sembilan orang pensyarah Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Marziana Madah Marzuki sebagai juruaudit dalam MAIK. Manakala senarai juruaudit lain adalah terdiri daripada Dr. Wan Zurina Nik Abdul Majid, Puan Wan Muzlaina Wan Mustafa, Puan Samsuria Abdul Rahman, Puan Wan Roshaini Wan Ali, Cik Siti Nor Adawiah Hussin, Puan Azilawati Abdullah @Abd Aziz, Puan Nurfazilahaini Muhamad Hanafi dan Encik Othman Zailani Hassan. Pelantikan ini bertujuan untuk membantu unit audit dalam MAIK bagi memastikan pengurusan kewangan masjid-masjid di seluruh negeri Kelantan mengikut piawaian yang ditetapkan MAIK dan seterusnya memastikan pengurusan kewangan mereka lebih telus dan berintegriti. Program pengauditan ini pada mulanya memfokuskan kepada masjid-masjid bandar di negeri Kelantan sebelum diteruskan ke seluruh masjid-masjid mukim di negeri ini.
Delegasi UiTM Cawangan Kelantan terdiri daripada Prof. Madya Dr. Mohd Nasir Ismail, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Dr. Norzieha Mustapha, Timbalan Rektor PJIA, , Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Dr. Khalid Abdul Wahid, Penolong Rektor Kampus Kota Bharu, Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff, Koordinator ICAN, Encik Hishamudin Mohamad Twontawi, Timbalan Pendaftar Kanan dan Puan Shalwati Ramli, Penolong Pendaftar Kanan yang telah hadir bagi menjayakan program pada malam tersebut.
Penyedia Laporan:
Prof. Madya. Dr. Marziana Madah Marziana
Koordinator URMI
Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri & Alumni
UiTM Cawangan Kelantan