Pengembangan Kurikulum Outcome-Based Education (OBE) Program Sarjana Akuntansi (S2) dan Sains Kedokteran Akuntansi (S3), Fakultas Ekonomi & Bisnis (FEB), Universitas Sumatera Utara (USU) (Studi Perbandingan dengan UiTM Malaysia)

MEDAN, INDONESIA, 9 September - Focus Group Discussion (FGD) pengembangan kurikulum bagi program Sarjana Akuntansi (S2) dan Sains Kedokteran Akuntansi (S3) berasaskan Outcome-Based Education (OBE) telah dilaksanakan di Aula Suhadji Hadibroto, Fakultas Ekonomi & Bisnis (FEB), Universitas Sumatera Utara (USU) pada 24 Julai 2024. Objektif utama yang ingin dicapai dari FGD ini adalah untuk mengemaskini dan menambah baik kurikulum OBE Program Sarjana Akuntansi dan Sains Kedoktoran Akuntansi bagi memantapkan kualiti program akademik, pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta penilaian dan pentaksiran seiring dengan visi FEB untuk menjadi “Fakulti Terkemuka, Unggul dan Mampu Memenuhi Kebutuhan Pasar Dalam Persaingan Global”.

Melalui kaedah P&P secara Outcome-Based Education (OBE), strategi Student Centered Learning (SCL) lebih ditekankan berbanding P&P secara konvensional yang berpusatkan kepada pensyarah (Entwistle, 2013). Melalui kaedah SCL ini, pelajar menjadi pemain utama dalam sesi P&P. Pelajar juga digalakkan melibatkan diri secara aktif dalam setiap sesi pembelajaran mereka. Melalui kaedah SCL ini, lebih banyak masa diperuntukkan kepada pelajar untuk meneroka dan menyelesaikan masalah pembelajaran dengan bantuan tenaga pengajar yang bertindak sebagai pemudahcara (Newble & Cannon, 2013). Kaedah OBE secara langsung dan tidak langsung ini dijangka dapat melahirkan pelajar yang berkebolehan untuk mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran, mempunyai pemikiran kritis/kreatif, dapat membuat penilaian dan pertimbangan yang wajar dalam membuat sesuatu keputusan, mengaplikasi, menganalisis, menyelesaikan masalah dan membuat sintesis bagi mencipta idea, penyelesaian, strategi atau amalan baharu [Malaysian Qualifications Framework (MQF) Edisi Kedua, 2024].

Program FGD dimulakan dengan ucapan aluan daripada Dekan Fakultas Ekonomi & Bisnis FEB, Dr. Fadli SE, M.Si. Di dalam ucaptamanya beliau menegaskan bahawa asas pengajian di universiti adalah proses di mana pelajar mempelajari dan mendalami sesuatu bidang ilmu. Melalui kurikulum yang berdaya maju dan bersifat futuristik, teras disiplin ilmu itu dapat bertahan untuk jangka waktu yang panjang. P&P pada abad ke-21 sedang berkembang maju dan ianya memerlukan tenaga pengajar yang mempunyai keupayaan untuk berkembang melalui kebolehsuaian, fleksibiliti, inovasi dan tangkas. P&P pada abad ke-21 merujuk kepada pendekatan, strategi dan kaedah pendidikan moden yang direka untuk selaras dengan kemahiran dan tuntutan dunia moden. Memandangkan dunia telah berkembang pesat disebabkan oleh kemajuan teknologi dan globalisasi, ia telah membawa perubahan kepada cara kita bekerja dan berkomunikasi. Evolusi ini juga telah mengubah landskap P&P. Kaedah pendidikan tradisional perlu diubahsuai bagi menyediakan pelajar dan graduan yang mempunyai skilset yang mampu memenuhi kehendak industri, masyarakat setempat serta mampu bersaing di pasaran global.

Program FGD diteruskan lagi dengan pembentangan latar belakang program pasca siswazah di Jabatan Akuntansi di FEB USU oleh Profesor Dr. Iskandar Muda Damanik, SE, M.Si, Ak, CA, CSRS, CSRS, CSP, IPSAS, CPA selaku Ketua Program Sains Kedokteran Akuntansi (S3) FEB Ilmu Akuntansi. Di dalam ucapannya beliau menegaskan bahawa penambahbaikan kurikulum perlu dilaksanakan dengan mengambil kira set kemahiran semasa yang berdasarkan keperluan industri serta mengambil kira pasaran kerja yang terus berkembang seiring dengan kemajuan teknologi dan trend global.

Sesi FGD diteruskan dengan pembentangan daripada dua (2) orang penceramah yang juga merupakan pakar rujuk kurikulum kepada Jabatan Akuntansi FEB USU daripada 2 negara, iaitu Malaysia dan Indonesia. Pembentangan dimulakan oleh Dr. Noor Marini Haji-Abdullah daripada Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan, Malaysia  dengan topik “Pemahaman Karakteristik Kurikulum OBE”. Sesi pembentangan dimulakan dengan pengenalan garis panduan penyediaan dokumen yang berkaitan pembangunan program akademik baharu dan semakan kurikulum bagi program sedia ada. Garis panduan ini diterbitkan untuk membantu universiti awam (UA) mendapatkan perakuan Jawatankuasa Pendidikan Tinggi (JKPT), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) [KPM (PT)] dan seterusnya memperoleh kelulusan daripada Menteri Pendidikan. Semua permohonan program baharu perlu mematuhi keperluan Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF), Kod Amalan Akreditasi Program (Code of Practice for Programme Accreditation, COPPA) dan standard program berkaitan yang diurus tadbir oleh Agensi Kelayakan Malaysia, (MQA) serta manual atau garis panduan badan professional sekiranya berkaitan.

Dalam Malaysian Qualifications Framework (MQF) Edisi Pertama, satu set lapan domain hasil pembelajaran generik dan 16 hasil pembelajaran khusus telah diwujudkan dan beroperasi dalam MQF Edisi Pertama (MQF Edisi Kedua, 2024). Domain ini terus kekal relevan dan boleh dibuat perbandingan secara universal. Walau bagaimanapun, sedikit penambahbaikan telah berlaku di dalam MQF Edisi Kedua (2024), di mana domain ini telah dikelompokkan, diprofilkan semula dan terdapat domain yang terus dikekalkan kedudukannya. Penambahbaikan kepada MQF Edisi Kedua kebanyakannya selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025, serta Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 – 2025 (Pendidikan Tinggi). MQF Edisi Kedua (2024) berkait dengan kesinambungan serta hasil pendidikan daripada pendidikan asas kepada pendidikan tinggi seperti yang ditetapkan dalam pelan tindakan negara.

Pembentangan diteruskan dengan membicarakan tentang ciri-ciri OBE dan pelaksanaannya di universiti awam di Malaysia. Antara pengisian yang diketengahkan adalah program akademik di universiti awam di Malaysia yang perlu mengemaskini silibus program akademik agar menepati keperluan MQF Edisi Kedua bagi melayakkan program akademik tersebut untuk mendapat kelulusan akreditasi daripada Malaysian Qualifications Agency. Bagi setiap program akademik sedia ada ia perlu disemak semula bagi memastikan silibus yang dibina telah dikemaskini mengikut 5 kluster dan mengambil kira sebelas (11) Program Learning Outcomes (PLOs) merangkumi: 1) Pengetahuan dan Kefahaman; 2) Kemahiran Kognitif; 3) Kemahiran Kerja Berfungsi; 4) Kemahiran Kerja Praktikal; 5) Kemahiran Interpersonal; 6) Kemahiran Komunikasi; 7) Kemahiran Digital; 8) Kemahiran Numerasi; 9) Kepimpinan, Autonomi dan Tanggungjawab; 10) Kemahiran Peribadi dan Keusahawanan; dan 11) Etika dan Profesionalisme.

Manakala bagi program akademik yang baharu dibina, kerangka pembinaannya juga perlu dibina berlandaskan lima (5) kluster tersebut dan juga berteraskan 11 PLOs. Lima kluster yang menjadi dasar kepada pembangunan akademik program ini bertujuan untuk melahirkan pelajar yang menunjukkan tanggungjawab etika dan sivik melalui sumbangan kepada komuniti tempatan dan global (MQF Edisi Kedua, 2017). Selain itu, beliau juga mengupas tentang Keperluan Guna Tenaga, 2024 di Malaysia dan membicarakan tentang Global Skills 2024.

Sesi FGD seterusnya adalah pembentangan kedua oleh Profesor Madya Dr. Rusdi Akbar daripada Universitas Gadjah Mada dengan topik berkaitan “Isi dan Penyesuaian  Kurikulum OBE, termasuk Assurance of Learning: Stable, Systematic Faculty Driven” mengikut praktis di Jabatan Akuntansi di FEB, Universitas Gadjah Mada, Indonesia. Peserta-peserta program FGD ini terdiri daripada pensyarah-pensyarah daripada FEB, USU, serta pemegang taruh yang terdiri daripada alumni USU, pengamal industri dan wakil pelajar. Usai pembentangan daripada kedua penceramah, sesi sumbang saran serta perbincangan telah berlangsung yang melibatkan kumpulan fokus ini dan penceramah daripada kedua-dua universiti yang telah berkongsikan pelaksanaan OBE, isu, manfaat serta cabaran pelaksanaan OBE mengikut konteks Malaysia dan Indonesia. Sesi sumbang saran ini telah dimoderasi oleh Dr. Ibnu Austrindanney Sina Azhar, yang merupakan pensyarah pascasiswazah daripada Jabatan Akuntansi, FEB USU. Melalui sesi ini pelbagai isu, pandangan dan cadangan telah diketengahkan dalam usaha untuk menambah baik semakan kurikulum bagi program Sarjana Akuntasi dan juga program Sains Kedokteran di Jabatan Akuntansi FEB USU. Melalui sesi sumbang saran ini juga, kedua-dua penceramah telah berkongsikan tips dan “Best Practise” daripada universiti masing-masing sebagai panduan untuk semakan kurikulum.

Sebagai penutup kepada program FGD ini, Ketua Program Sarjana Akuntansi, FEB, Dr. Keulana Erwin berharap agar program ini mencapai matlamat dan tujuannya iaitu;

  • membincangkan kurikulum OBE S2/S3 Ilmu Akuntansi 2017-2024;
  • mendapat input daripada pelbagai pemegang taruh yang terlibat dalam sesi FGD ini;
  • memperbaharui material dan kaedah P&P dengan mengambil kira keperluan industri dan pasaran pekerjaan; dan
  • mengemaskini kurikulum dengan perubahan terkini di dalam polisi dan standard pendidikan.

Rujukan:
Entwistle, N. J. (2013). Styles of learning and teaching: An integrated outline of educational psychology for students, teachers and lecturers. Routledge.
Malaysian Qualifications Framework (MQF) Second Edition, (2024), Malaysian Qualifications Agency
Newble, D., & Cannon, R. (2013). Handbook for teachers in universities and colleges. Routledge.

Penyedia Laporan:
Dr. Noor Marini Haji-Abdullah
Pensyarah Kanan
Fakulti Perakaunan
UiTM Cawangan Kelantan