Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan Terima Kunjungan Kolej Vokasional Sungai Buloh untuk Lawatan Penanda Aras

MACHANG, 2 September - Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan baru-baru ini telah menerima kunjungan daripada delegasi Kolej Vokasional Sungai Buloh dalam rangka Lawatan Penanda Aras. Lawatan ini bertujuan untuk meninjau fasiliti dan Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) yang diamalkan di Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan, serta untuk mempelajari amalan terbaik dalam bidang pendidikan perakaunan.

Delegasi yang diketuai oleh Puan Norizan Ab Rahman, Ketua Jabatan Perniagaan, turut disertai oleh Puan Zurina Md Yunos, Ketua Program Perakaunan, serta dua orang pensyarah perakaunan, iaitu Puan Noor Aziah Mohd Drus dan Encik Mohd Suhaimi Mamat. Mereka disambut mesra oleh Prof. Madya Dr. Mohd Nasir Ismail, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik yang turut menjalankan tugas Rektor UiTM Cawangan Kelantan, bersama Dr. Noraini Junoh, Ketua Unit Kualiti UiTMCK, Dr. Nik Zam Nik Wan, Ketua Pusat Pengajian Fakulti Perakaunan, serta semua pensyarah Fakulti Perakaunan.

Dalam lawatan tersebut, Dr. Nik Zam Nik Wan telah memberikan penerangan mendalam mengenai Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) yang telah dilaksanakan di Fakulti Perakaunan UiTM. Sesi ini turut disusuli dengan perkongsian pengalaman antara tenaga pengajar Kolej Vokasional dan pensyarah Fakulti Perakaunan, yang bertujuan memperkukuh hubungan dan saling belajar antara kedua-dua institusi.

Lawatan tersebut diakhiri dengan tinjauan fasiliti UiTM Cawangan Kelantan, termasuk bilik sumber fakulti, bilik kuliah, makmal, Smart Classroom, serta Perpustakaan Tengku Anis. Pertemuan ini diharapkan akan membuka ruang dan peluang untuk kerjasama yang lebih erat antara UiTM Cawangan Kelantan dan Kolej Vokasional Sungai Buloh pada masa hadapan.

Penyedia Laporan:
Cik Siti Nor Adawiah Husin
Pensyarah
Fakulti Perakaunan