Kolaborasi Strategik Masjid Jamek Sultan Yahya Petra Machang dan Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan Dalam Peningkatan Kualiti Pengurusan Masjid

MACHANG, 2 September – Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) telah menerima jemputan daripada Masjid Jamek Sultan Yahya Petra Machang (MJSYPM) untuk bekerjasama dalam menganjurkan ‘Bengkel Perancangan Strategik dan Pemantapan Kualiti Dokumentasi’. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha MJSYPM untuk mencapai penarafan 5 bintang mengikut Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM).

Bengkel ini bertujuan untuk memperkukuhkan pemahaman dan meningkatkan kompetensi ahli jawatankuasa masjid dalam merancang program serta menyediakan dokumentasi yang memenuhi standard kualiti tinggi. Sesi ceramah bertajuk "Perancangan Strategik dan Pelaporan Berimpak" telah disampaikan oleh Dr. Nik Zam Nik Wan, Ketua Pusat Pengajian Fakulti Perakaunan merangkap mantan Ketua Unit Kualiti UiTMCK. Dalam sesi tersebut, penceramah telah memberikan panduan penting dalam aspek strategik dan pelaporan kepada para peserta.

Bengkel ini juga melibatkan sesi perbincangan kumpulan di mana pensyarah-pensyarah dari Fakulti Perakaunan UiTMCK bertindak sebagai fasilitator, membantu ahli jawatankuasa masjid dalam mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh. Setiap kumpulan kemudian membentangkan hasil perbincangan mereka, dengan wakil dari setiap ahli jawatankuasa masjid mengambil peranan sebagai pembentang. Selepas sesi perbincangan, Dr. Nik Zam Nik Wan membuat rumusan keseluruhan program, memberikan pandangan akhir dan cadangan untuk pelaksanaan pada masa hadapan.

Hasil utama bengkel ini termasuklah penghasilan perancangan program atau planner sehingga Disember 2024 yang merangkumi anggaran bajet atau kewangan yang diperlukan. Selain itu, Templat Perancangan Strategik juga telah dihasilkan oleh pihak UiTMCK berdasarkan Standard Penarafan Masjid Malaysia, termasuk skop tugas bagi setiap ahli jawatankuasa.

Bagi memastikan perancangan yang dibuat dapat dilaksanakan dengan efektif, Fakulti Perakaunan UiTMCK dan MJSYPM akan meneruskan usaha sama dalam memantau laporan perkembangan pelaksanaan perancangan ini. Usaha ini diharapkan dapat membantu MJSYPM mencapai tahap kecemerlangan yang diinginkan, sekaligus memperkukuhkan peranan masjid dalam komuniti.

Penyedia Laporan:
Cik Siti Nor Adawiah Hussin
Pensyarah
Fakulti Perakaunan