KOTA BHARU, 29 Ogos – ‘Festival REIACt Day’ 2024 UiTM Cawangan Kelantan adalah program tahunan yang dianjurkan oleh Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri & Alumni UiTM Cawangan Kelantan. Program ini merangkumi aktiviti–aktiviti penyelidikan, program khidmat masyarakat, jaringan industri, keusahawanan dan alumni yang bermula pada 23 Ogos 2024 sehingga majlis penutup pada 24 Oktober 2024. Pada tahun ini, Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri & Alumni UiTM Cawangan Kelantan sangat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Collectibles Museum Negeri Kelantan dalam menganjurkan ‘Festival REIACt Day’ bagi tahun 2024. Program ini dianjurkan bersama oleh UiTM Cawangan Kelantan di bawah pengarah program Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff, Koordinator ICAN UiTM Cawangan Kelantan dengan kerjasama Collectables Museum di bawah Encik A. Saifullah Sulaiman.
Program ini bermula dengan ‘Collectibles StateRoom Fair’ pada 23 & 24 Ogos 2024 dan diserikan lagi dengan Majlis Makan Malam Sempena Sambutan 25 tahun UiTM Peringkat UiTM Cawangan Kelantan pada 24 Ogos 2024 dan yang istimewanya, Majlis Makan Malam ini telah dirasmikan oleh Tengku Laksamana Kelantan, YBM Tengku Abdul Halim Al-Haj ibni Almarhum Sultan Ibrahim dan Tengku Puan Laksamana Kelantan, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), Profesor TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah dan dihadiri oleh seramai 430 orang yang meliputi warga UiTM Cawangan Kelantan, mantan-mantan pengurusan UiTM Cawangan Kelantan, para pesara UiTM Cawangan Kelantan, para alumni, dan rakan strategik yang berkolaborasi dengan UiTM Cawangan Kelantan dan Collectibles Museum. Majlis turut diserikan dengan kehadiran anakanda dan cucunda berdua iaitu Tengku Ariez Hazaril (anakanda), Tunku Dayang Adelene (menantu), Tengku Adrei Hazique (cucunda) dan Tengku Aleana Haziyah (cucunda). Pada hari Isnin, 26 Ogos 2024 yang lalu, genap 25 tahun transformasi nama kepada sebuah institusi dari ‘Institut Teknologi MARA’ kepada ‘Universiti Teknologi MARA’. Ini adalah detik yang penuh makna, terutama sekali bagi UiTM Cawangan Kelantan yang telah menjadi sebahagian daripada sejarah dan perkembangan institusi keramat ini.
‘Festival REIACt Day’ 2024 UiTM Cawangan Kelantan kali ini telah bekerjasama dengan Collectibles Museum Negeri Kelantan dalam penganjuran ‘Collectibles StateRoom Fair’ yang menawarkan 31 bilik pameran. Nama "Collectibles Affair" telah diberikan oleh Tengku Laksamana Kelantan, YBM Tengku Abdul Halim Al-Haj ibni Almarhum Sultan Ibrahim dan Tengku Puan Laksamana Kelantan, YAM Sharifah Azwan binti Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail bagi memperkenalkan jenama program hobi dan koleksi pelbagai barangan sebagai satu inisiatif pemangkin pelancongan dalam negeri Kelantan. Dengan kejayaan program dan aktiviti yang telah dianjurkan melalui Collectibles Affair ini juga, Collectibles Museum telah diwujudkan untuk menempatkan dan mempamerkan koleksi-koleksi hobi ini kepada umum.
Collectibles Museum ditubuhkan pada Ogos 2017 di Kota Bharu, Kelantan dan telah beroperasi sehingga kini. Ianya merupakan muzium hobi pertama dan satu-satunya muzium yang mempamerkan koleksi hobi Diraja antaranya pengumpulan barangan 'diecast' seperti jenama 'Hot Wheels' dan sebagainya di Malaysia. Muzium ini juga berkonsepkan moden dan klasik, turun temurun di samping koleksi-koleksi barangan edisi terhad.
Semoga ‘Festival REIACt Day’ 2024 UiTM Cawangan Kelantan kali ini telah melakar sejarah bagi UiTM Cawangan Kelantan secara khususnya serta warga UiTM di seluruh negara kerana uniknya tahun ini, sambutan adalah secara bersama dengan SAMBUTAN SEMPENA 25 TAHUN UiTM.