Kunjungan Rasmi Delegasi Quanzhou Vocational and Technical University (QVTU), China Ke UiTM Cawangan Kelantan

MACHANG, 28 Mei - Pejabat Perhubungan Antarabangsa UiTM Global Cawangan Kelantan membuka lembaran tahun 2024 dengan menerima kunjungan rasmi dari para delegasi Quanzhou Vocational and Technical University, China yang diketuai oleh President, Wu Binru, Profesor Guo Feifei, Vice President of QVTU, Profesor Xie Yunxiang, Deputy Dean of Industrial School of Joint Innovation, Cik Wang Huan, Director of International Affairs Office dan Cik Yang Huiting, Secretary to the President selama tiga hari ke Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan.

Antara rangka utama lawatan rasmi ini yang bermula pada 17 April 2024 adalah untuk menyebarluaskan usahasama antara kedua-dua institusi pendidikan ini. Usai Perjanjian Memorandum Persefahaman yang telah dimeterai pada tahun 2023, kunjungan julung kali ini adalah untuk menubuhkan Malaysia Maritime Silk Road Institute antara QVTU dan UiTM Malaysia. Kehadiran delegasi ini telah disambut meriah oleh Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA Malaysia, dan Profesor Haji Abdol Samad Nawi, Rektor UiTM Cawangan Kelantan serta warga UiTM Cawangan Kelantan.

Aspirasi penubuhan Institut Maritim ini adalah bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China. Penubuhan ini dilihat sebagai salah satu platform untuk mengukuhkan lagi saluran perdagangan, pertukaran budaya dua negara dan membuka ruang kerjasama akademik yang lebih meluas dalam membangunkan bakat serta latihan staf untuk menambahbaik kepakaran dalam negara. Bagi fakulti dan akademi pengajian pula, ini merupakan satu peluang untuk menjalinkan kerjasama bersama pemain industri utama, Huawei Technologies, China melalui program Pensijilan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), Bicara Antarabangsa, Program Inisiatif Tenaga Hijau (Automotif), Latihan Industri Mahasiswa dan beberapa perancangan mobiliti pelajar yang bakal menyusul. Harapan UiTM Global Cawangan Kelantan adalah supaya kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang dan ruang untuk memberi laluan serta pendedahan kepada staf serta mahasiswa UiTM dalam menerokai kekuatan diri dan organisasi.

Bak kata pepatah, Berjalan Sampai ke Batas, Berlayar Sampai Ke Pulau – jika kerjasama dan muafakat sesama kita sentiasa mapan dan teguh menyokong kebersamaan dalam apa jua rintangan, inshaAllah impian kecemerlangan dapat dijulang. 

Penyedia Laporan:
Cik Asiah Said
Setiausaha 1
UiTM Global Cawangan Kelantan