Program Pensyarah dan Pelajar Jabatan Seni Reka Tekstil, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) Bersama Kanak-kanak Berkeperluan Khas Bizara Care Centre (Special Need Education)

KOTA BHARU, 21 Mei - Seramai 8 orang pensyarah bersama 43 orang pelajar semester 2, Jabatan Seni Reka Tekstil, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), UiTM Cawangan Kelantan telah mengadakan lawatan kajian akademik ke Bizara Care Centre pada 15 Mei 2024. Lawatan  kajian akademik yang diadakan adalah idea kolaborasi bagi kedua-dua institusi akademik ini dalam menghasilkan karya seni fiber dan langkah seterusnya adalah untuk menjayakan sebuah pameran.

Bizara Care Centre merupakan sebuah pusat pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas yang telah diasaskan oleh Encik Wan Zakaria Wan Abu Bakar semenjak tahun 2018. Berlatarbelakangkan bidang seni dan Pendidikan, nilai pengalaman dan kemahiran yang dikecapi telah memberi kelebihan buat Encik Wan Zakaria dalam menerapkan nilai seni dan alam sebagai satu terapi buat anak-anak Bizara. Bagi merealisasikan cetusan idea kolaborasi ini, sebuah pameran dan pertandingan karya seni fiber iaitu ‘Fiber Art Exhibition 2024’ akan diadakan dan dijadualkan bakal berlangsung pada 17 Ogos 2024. Penghasilan karya seni fiber bagi setiap pelajar ini merupakan inspirasi dan idea bersama daripada anak-anak Bizara dan ini menjadi objektif utama ‘Program Fiber Art Exhibition 2024’ ini.

Penghasilan karya seni fiber dalam bentuk 2D dan 3D ini dapat menarik minat kanak-kanak berkeperluan khas sebagai terapi untuk meninjau kemahiran psikomotor dan emosi mereka dalam meningkatkan kemahiran komunikasi, ekspresi diri serta menggalakkan sosialisasi. Oleh yang demikian, lawatan ini adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar Jabatan Seni Reka Tekstil bersama kanak-kanak di Bizara Care Centre bagi mengenali karakter dan minat mereka sebelum menghasilkan sebuah karya. Program ini juga dapat memberi pengalaman baharu bagi pelajar dalam menghasilkan karya dalam bentuk yang lebih spesifik mengikut keperluan khas kanak-kanak istimewa.

Program sehari bersama kanak-kanak berkeperluan khas ini disambut baik oleh Encik Wan Zakaria dan guru-guru di Bizara Care Centre. Program ini juga memberi pengalaman yang luar biasa kepada kanak-kanak tersebut apabila mereka dapat bermesra dan berkomunikasi dengan mahasiswa dan mahasiswi dalam menzahirkan identiti diri mereka melalui seni. Turut hadir bersama meraikan program ini ialah Ketua Pusat Pengajian, Kolej Pengajian Seni Kreatif iaitu Dr. Nani Hartina Ahmad dan beliau melihat program ini dapat memberi impak yang positif terhadap KPSK dan UiTM Cawangan Kelantan khususnya dalam bidang Seni Reka Tekstil. Beliau juga berharap agar kolaborasi ini dapat diteruskan lagi melalui pelbagai bentuk program yang melibatkan aktiviti seni kerana ia dapat membantu kanak-kanak berkeperluan khas ini untuk membina keyakinan diri sebagai persediaan menghadapi cabaran hidup dalam kalangan masyarakat.

Bizara Care Centre mempunyai dua Cawangan iaitu di Taman Pemuda Wakaf Stan, Kubang Kerian dan di Kg Telok, Pengkalan Chepa. Antara aktiviti yang dijalankan ialah pelajar-pelajar dipecahkan kepada dua kumpulan kecil yang ditempatkan di kedua-dua lokasi tersebut mengikut jumlah kanak-kanak Bizara dan diiringi oleh beberapa orang pensyarah. Kemuadian mereka diagihkan kepada kanak-kanak Bizara, setiap seorang mengikut minat masing-masing terhadap subjek kajian pelajar tersebut. Semua pelajar telah membuat persediaan dengan menyediakan kajian mood board melalui tampalan kolaj subjek kajian masing-masing menggunakan pelbagai media dan warna bagi menarik minat kanak-kanak tersebut. Aktiviti yang berlangsung selama 3 jam itu dilihat berjaya mencapai objektif kerana pelajar dan kanak-kanak Bizara dapat berkomunikasi dan memberi kerjasama yang baik dalam menzahirkan minat mereka terhadap kajian warna dan media yang disediakan. Dua elemen inilah yang akan digunakan oleh pelajar dalam membuat karya seni fiber mereka untuk dipertandingkan nanti.

Jalinan kerjasama antara pelajar Jabatan Seni Reka Tekstil dan Bizara Care Centre dilihat dapat memberi impak yang positif terhadap kanak-kanak berkeperluan khas kerana mereka diberi peluang bergandingan bersama dalam menghasilkan sebuah karya. Pelajar juga dapat menimba satu pengalaman yang baru apabila mereka dapat berkomunikasi, berinteraksi dan bermain dengan kanak-kanak istimewa malah ianya menjadi satu cabaran dalam menghasilkan karya seni fiber dalam bentuk yang lebih dinamik mengikut keperluan khas. Kerjasama ini jugu dilihat dapat memperkenalkan keistimewaan seni fiber dalam memenuhi keperluan kanak-kanak berkeperluan khas sebagai terapi diri dan pada masa yang sama dapat meningkatkan seni tekstil di mata masyarakat.

Penyedia laporan:
Puan Aneeza Mohd Adnan
Pensyarah Kanan
Kolej Pengajian Seni Kreatif

Editor:
Puan Anis Ediana Mohd Fauzi
Pensyarah
Kolej Pengajian Seni Kreatif

Media dan Grafik:
Encik Mohd Bakeri Ab Rahman
Pensyarah Kanan
Kolej Pengajian Seni Kreatif