Kekeluargaan dan Kebersamaan: Sorotan Program Hari Keluarga Fakulti Perakaunan 2024

MACHANG, 20 Mei - Program Hari Keluarga Fakulti Perakaunan 2024 telah berjaya dilaksanakan pada 10 Mei 2024, bertempat di D’Geting Resort, Tumpat. Program ini menjadi satu platform yang penting bagi ahli fakulti untuk memperkukuhkan ikatan ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan ahli fakulti. Dengan matlamat utama meningkatkan ‘Happiness Index’ serta semangat kerjasama yang baik bagi menghasilkan budaya kerja yang lebih produktif, program ini dianjurkan dengan teliti oleh semua ahli Fakulti Perakaunan UiTMCK yang diketuai oleh Cik Siti Nor Adawiah Hussin sebagai Pengarah Projek. Program ini dimulai dengan ucapan aluan yang merangkumi tujuan serta harapan program oleh Ketua Pusat Pengajian, Dr. Nik Zam Nik Wan, dan kemudianya diikuti oleh slot pengenalan ahli keluarga masing-masing. Semangat dan keterujaan peserta jelas terpancar dalam setiap acara sukaneka yang telah disediakan. Sebanyak 10 acara sukaneka disediakan oleh semua peserta mengikut peringkat umur dan kategori. Sesi makan tengah hari memberi peluang kepada semua peserta untuk berehat dan berinteraksi secara santai, mempamerkan semangat kekeluargaan yang dicari.

Program ini turut dimeriahkan lagi dengan acara cabutan bertuah di mana semua ahli fakulti mendapat hadiah cabutan bertuah. Hadiah tersebut disumbangkan oleh ramai pihak termasuk daripada alumni, ahli fakulti serta Dekan Fakulti Perakaunan, Profesor Dr. Haslinda Yusoff. Secara keseluruhan, Hari Keluarga Fakulti Perakaunan 2024 berjaya mencipta kenangan yang tidak dapat dilupakan dan program ini juga turut menjadi satu tonggak penting dalam memperkukuhkan lagi hubungan sosial serta kerjasama dalam kalangan ahli fakulti dan keluarga masing-masing. Pelaksanaan program ini juga dapat membantu UiTMCK mencapai petunjuk prestasi PI086 iaitu ‘Number of activity related to ESI-iDART’.

Penyedia Laporan:
Cik Siti Nor Adawiah
Pensyarah
Fakulti Perakaunan