Program Pensijilan Rakan Kaunselor 'Junior Counsellor' UiTM Cawangan Kelantan 2024

MACHANG, 20 Mei - Unit Kerjaya & Kaunseling UiTM Cawangan Kelantan menganjurkan satu program penting dengan hasrat mendokong aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Kesihatan dalam menangani isu-isu kesihatan mental di peringkat remaja institusi tinggi pada 15 Mei 2024.

Penjenamaan baharu atau rebranding dengan jenama “Junior Counsellor” adalah untuk menarik dan memupuk minat mahasiswa UiTM untuk lebih rapat, mesra dan intim dengan dunia kaunseling serta memahami ilmu psikologi, bagaimana kaedah dan cara proses kaunseling serta kemahiran asas kaunseling apabila mendekati dan menjalani proses membantu diri, rakan dan individu yang bermasalah. Bagi memperolehi pensijilan Junior Kaunselor, para peserta yang terpilih akan menjalani beberapa siri aktiviti bagi melengkapi modul yang telah ditetapkan.

Sebagai junior kaunselor, anda bukan sahaja didedahkan dengan pengetahuan dalam bidang kaunseling malahan mengenai langkah penting dalam membantu orang lain. Kaunselor adalah cahaya dalam kegelapan, penyokong dalam kesusahan, dan kawan dalam kesepian. Dengan menyertai program ini, Junior Counsellor telah memilih untuk menjadi seseorang yang mempunyai inspirasi dan aura positif terhadap kehidupan orang lain.

Puan Zainab ‘Izzah Mahmud menyatakan Program Siri 1 yang telah disertai seramai 120 orang wakil-wakil daripada setiap MPP, JPK dan Kelab Persatuan UiTM Kampus Machang dan Kampus Kota Bharu merupakan perintis dalam memperbaiki tahap kepimpinan para pemimpin mahasiswa yang merupakan tunjang bagi keberhasilan graduan yang kompeten. Jika pemimpin-pemimpin mahasiswa ini dapat dilatih dalam kemahiran dunia kaunseling serta konsep tolong-menolong pastinya mereka ini mampu menjadi individu pertama dalam membantu rakan-rakan yang memerlukan serta menjadi mata dan telinga (sumber perantaraan mahasiswa dan kaunselor) apabila berhadapan dengan isu-isu semasa yang berlaku di universiti.

Penyedia Laporan:
Puan Zainab ‘Izzah Mahmud KB PA (Mal)
Pegawai Psikologi Kanan
Bahagian Hal Ehwal Pelajar