Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara DisiniWork Sdn Bhd dan Yayasan Pembangunan Ummah (YPU) bersama UiTM

MACHANG, 20 Mei 2024 - DisiniWork Sdn Bhd dan Yayasan Pembangunan Ummah (YPU) telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan bagi memastikan pelajar di institusi pengajian itu terlibat dengan ekonomi GIG untuk meningkatkan kompetensi dan menjana pendapatan sampingan pada 13 Mei 2024.

Memorandum itu ditandatangani oleh Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Profesor Dr. Haji Abdol Samad Nawi yang mewakili UiTM manakala DisiniWork Sdn Bhd pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Abbyamir Sapie dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YPU iaitu Tuan Hj Mohd Hoesni Husain.

Rektor UiTMCK Profesor Dr. Haji Abdol Samad Nawi berkata, seramai 350 orang pelajar yang berdaftar dengan syarikat terbabit akan mengikuti latihan yang disediakan, selain dapat menjana pendapatan sampingan ketika sedang mengikuti pengajian di universiti ini; "Apabila tamat latihan terbabit, pelajar akan diberikan peluang meningkatkan Kemahiran-kemahiran dan penguasaan teknologi dengan pekerjaan yang disediakan secara atas talian. Ini sekali gus meningkatkan kemahiran GIG ekonomi dan memberikan kesediaan kepada bakal graduan untuk memasuki alam pekerjaan”. Profesor Dr. Haji Abdol Samad Nawi juga turut berkata, "Kita sasarkan 7,500 orang pelajar UiTM Cawangan Kelantan pada tahun ini akan berdaftar dengan syarikat berkenaan mengikut pelbagai kemahiran yang ditawarkan", ketika ditemui Bernama selepas majlis menandatangani MoA berkenaan di UiTM Kampus Machang, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DisiniWork Sdn Bhd, Encik Abbyamir Sapie berkata pihaknya menawarkan 50 jenis kemahiran di peringkat global kepada pelajar yang berminat seperti reka bentuk grafik, analisis perniagaan dan sebagainya. Mahasiswa boleh mempromosi kemahiran diri mereka di atas talian, membuat penawaran dan membida projek atau tugasan di atas talian melalui aplikasi yang disediakan oleh DisiniWork Sdn. Bhd. Ini sejajar dengan hasrat Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM yang diketuai oleh Profesor Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi Timbalan Naib Canselor (HEP) yang mahukan mahasiswa UiTM sentiasa kompeten seiring dengan keperluan industri dan zaman. "Program ini turut mendapat sokongan dari agensi kerajaan supaya memberi nilai tambah kepada pelajar apabila menamatkan pengajian kelak kerana kerjasama ini adalah untuk perkembangan ilmu pada masa hadapan," katanya.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTMCK, Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli juga mengharapkan dengan termeterainya MoA dengan YPU & DisiniWork, ianya dapat membuka jalinan kerjasama yang kukuh antara institusi pengajian tinggi bersama agensi /syarikat berkepentingan bagi pembangunan negara, masyarakat dan mahasiswa UiTM serta dapat menghasilkan penyelidikan bersama bagi tujuan penambahbaikan dan perkembangan ilmu pada masa hadapan. Beliau turut berkata UiTM sentiasa berusaha membantu dari segi penyelidikan dan kepakaran Pembangunan Modul kepada golongan asnaf, fakir miskin dan miskin tegar dan akhirnya hasil kerjasama ini juga dapat meningkatkan ‘visibility’ kedua-dua belah pihak di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Penyedia Laporan:
Puan Zainab ‘Izzah Mahmud KB PA (Mal)
Pegawai Psikologi Kanan
Bahagian Hal Ehwal Pelajar