Conteng Seni Bersama Sekolah Kebangsaan Pak Roman

MACHANG, 16 Mei - Jabatan Seni Reka Grafik & Media Digital serta Jabatan Seni Halus dari Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) dengan kerjasama Unit Jaringan Komuniti, Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri & Alumni (PJIA) UiTM Kelantan telah mengadakan Program Conteng Seni bersama Sekolah Kebangsaan Pak Roman, Machang. Program ini diadakan selama 2 hari bermula dari 8 Mei sehingga 9 Mei 2024. Seramai 30 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Pak Roman, 12 orang pelajar Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) serta 8 orang pensyarah pengiring telah menyertai program ini.

Tujuan aktiviti seni yang diadakan adalah untuk mewujudkan hubungan dua hala yang baik antara pihak Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) serta Unit Jaringan Komuniti, Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri & Alumni (PJIA) UiTM Kelantan dengan pihak Sekolah Kebangsaan Pak Roman, Machang Kelantan. Program mural ini dapat memberi motivasi buat para pelajar sekolah disamping membuka peluang untuk mereka menerokai seni visual. Tambahan lagi program ini juga diadakan untuk menanam minat serta memberi pendedahan kepada para pelajar sekolah mengenai kemahiran seni visual. Program ini juga berjaya memupuk minat pelajar sekolah rendah terhadap seni di peringkat lebih awal. Pihak sekolah serta pelajar-pelajar dilihat teruja untuk bersama-sama menunjukkan bakat dalam menghasilkan lukisan mural di dinding sekolah. Sebanyak 3 panel dinding sekolah telah berjaya dijadikan seni mural dengan tema pendidikan, planet-planet di ruang angkasa dan dinding ketiga adalah bertemakan keceriaan.

Perkongsian teknik, pengalaman dan pengetahuan seni berjaya memupuk minat dan menarik perhatian para pelajar sekolah untuk lebih menghargai karya seni apabila mereka diberi peluang untuk berkarya bersama-sama peserta dari UiTM. Pendedahan seperti ini juga dapat merapatkan ukhwah antara pihak sekolah, pihak UiTM dan masyarakat setempat.

Hasil lukisan mural yang ceria berupaya menjadikan warga sekolah lebih gembira dan mampu mengurangkan tekanan mereka ketika berada di sekolah. Selain itu, program sebegini memberi peluang kepada pelajar UiTM khususnya dan pelajar sekolah amnya melalui pendedahan dan pengalaman berkaitan aktiviti kemasyarakatan.

Penyedia Laporan:   
Dr. Noorlida Daud
Penyelaras
Unit Jaringan Komuniti
Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri & Alumni