Majlis Perasmian Penutup Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) UiTM Siri 11/2023

MACHANG, 13 September – Majlis Perasmian Penutup Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) UiTM Siri 11/2023 telah diadakan pada 9 september yang lepas. Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengurusan Universiti (LPU) Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose. Turut bersama di dalam majlis adalah Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Rektor UiTM Cawangan Kelantan selaku tuan rumah kejohanan, Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi, timbalan-timbalan rektor cawangan, barisan pengurusan tertinggi dan urusetia UiTM Cawangan Kelantan, pegawai-pegawai kokurikulum seluruh sistem dan 630 orang peserta yang terdiri daripada pelajar beruniform kesatria Se-Malaysia.

Majlis ini merupakan simbolik kepada penganjuran KKEC 2023 yang berlangsung pada 4 hingga 9 September 2023 yang lepas. Antara permainan yang dipertandingkan adalah acara Duathlon, Jalan Lasak, Tarik Tali, MTB Orienteering, Score Orienteering dan Obstacle Challenge. Dalam majlis ini juga, UiTM Cawangan Perlis selaku juara bertahan dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan kejohananan berdasarkan kiraan pungutan mata terbanyak telah membawa pulang piala pusingan dan wang tunai sejumlah RM 3,000, manakala naib johan di menangi oleh UiTM Shah Alam dan tempat ke-3 oleh UiTM Cawangan Johor dengan masing-masing membawa pulang wang kemenangan RM2,000 dan RM1,000.

Penglibatan 13 batalion komander Komander Kesatria Se-Malaysia dengan kata-kata keramat “Once a Commander, Forever a Commander” ini telah membuktikan bahawa penyatuan semua ahli dapat direalisasikan melalui kerjasama dan penglibatan bersama. Majlis dan aktiviti seperti ini dapat menyuntik semangat dan mampu menbina tunjang utama dalam pembangunan insan demi bangsa dan negara. Aktiviti lasak dan mencabar ini semestinya akan membakar semangat yang luar biasa kepada setiap individu untuk terus maju dalam membentuk jati diri yang lebih berwibawa. Amat wajarlah setiap individu untuk tidak berputus asa dan terus gigih berusaha dalam menempuh pelbagai cabaran yang akan datang dengan mengadaptasikan segala pengalaman dan ilmu yang diperolehi melalui aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan.

Sekalung penghargaan kepada pengajur utama Unit Kokurikulum UiTM Cawangan Kelantan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Komander (MPK) Batalion 10 UiTM Cawangan Kelantan, bersama-sama barisan jawatankuasa melangkaui pelbagai bahagian dan unit serta kampus di UiTMCK telah membentuk satu kombinasi usaha yang cukup padu dalam menjayakan kejohanan KKEC 2023. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada barisan anggota PDRM Daerah Machang yang turut membantu mengawal pergerakan trafik di laluan-laluan utama di sekitar Kampus Machang. Usaha dan hasil yang telah dipamerkan ini haruslah menjadi satu batu loncatan untuk penganjuran yang lebih besar pada masa akan datang.

Di akhir majlis juga terdapat simbolik pengumuman dan penyerahan bendera kejohanan kepada penganjur yang baru iaitu Batalion 5 UiTM Cawangan Terengganu yang diwakili oleh Ts. Dr. Ermeey Abdul Kadir selaku Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar. Diharapkan dengan berlangsungnya Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) UiTM Siri 11/2023 ini, ianya dapat memberi impak yang positif dan menjadi titik transformasi kepada para peserta dalam menjayakan tugas dengan penuh amanah, tanggungjawab dan disiplin.

Penyedia Laporan:
Kapten Nik Mohd Al Firdaus Bin Nik Wil (KEST)
Setiausaha 2 Komander Kesatria Endurance Challenge siri 11/2023
Unit Kokurikulum UiTM Cawangan Kelantan