Kemenangan Kontinjen UiTMCK di Perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2023 Peringkat Negeri Kelantan

MACHANG, 4 September – Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan telah menjemput UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang untuk menyertai Perbarisan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2023 Peringkat Negeri Kelantan pada 31 Ogos 2023. Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini telah diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan. Sambutan Hari Kebangsaan pada kali ini amat meriah kerana, sebanyak 11 badan beruniform dan 56 kontinjen daripada jabatan dan agensi kerajaan yang menyertai perbarisan di stadium tersebut dan perbarisan ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori badan beruniform dan kategori jabatan dan agensi kerajaan. Pada tahun ini, UiTM Cawangan Kelantan telah menghantar satu kontinjen terdiri daripada seorang staf Unit Kokurikulum (Ketua Kontinjen) iaitu, Leftenan (Kest) Mohd Hafiz Zali yang juga merangkap jurulatih kontinjen dan 35 orang komander untuk menyertai acara Perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Kelantan.

Pada tahun lepas, UiTM Cawangan Kelantan telah mendapat tempat ke-3. Justeru itu, UiTM Cawangan Kelantan telah menetapkan matlamat baharu pada tahun ini untuk memperbaiki kedudukan yang lebih baik dari tahun sebelumnya. Setelah mencurahkan segala keringat dan usaha yang gigih, Alhamdulillah, telah membuahkan hasil kerana pada tahun ini UiTM Cawangan Kelantan telah mendapat Johan bagi perbarisan terbaik kategori jabatan dan agensi Kerajaan. Dengan kemenangan ini, UiTMCK telah membawa pulang sebuah piala dan wang ringgit sebanyak RM1,200. Semoga kemenangan ini menjadi pemangkin semangat untuk UiTMCK berusaha dengan lebih gigih lagi bagi tahun yang akan datang. Secara tidak langsung, kemenangan ini dapat menerapkan semangat berpasukan antara satu sama lain dan dapat menaikkan nama UiTM Cawangan Kelantan.

Dengan penyertaan dalam aktiviti patriotisme seperti ini, diharap dapat meningkatkan lagi semangat dan jati diri setiap warga UiTM Cawangan Kelantan serta dapat memotivasikan para pelajar dan kakitangan lain untuk melibatkan diri dalam aktiviti patriotisme dan aktiviti-aktiviti berfaedah yang lain.

Penyedia laporan:
Leftenan (Kest) Mohd Hafiz Zali
Ketua Kontinjen, merangkap jurulatih kontinjen
Unit Kokurikulum UiTMCK