QUANZHOU, 6 November – Seramai lima orang pelajar UiTM Cawangan Kelantan terpilih menyertai 2nd International Youth Exchange Camp di Quanzhou Vocational and Technical University (QVTU), China pada 19 hingga 25 Oktober 2025. Pelajar yang terpilih merupakan mahasiswi daripada Fakulti Perakaunan dan Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi. Turut serta sebagai pensyarah pengiring adalah dua orang pensyarah Akademi Pengajian Bahasa (APB) iaitu Puan Lai See May dan Puan Rohazlyn Rosly.
Program anjuran QVTU ini disertai oleh delegasi beberapa buah negara iaitu Thailand, Filipina, dan Malaysia termasuk UiTM Cawangan Sarawak. Para peserta diberi peluang berkongsi ilmu dan pengalaman dengan peserta dari negara lain dalam semua aktiviti yang dianjurkan. Antara aktiviti yang telah disertai adalah sesi kelas seni mempertahankan diri Wushu, seni Kaligrafi dan seni adat minum teh. Pelajar juga didedahkan dengan ilmu pengetahuan e-dagang di mana mereka berpeluang melihat cara dan proses “live streaming” dijalankan bagi mempromosikan produk keluaran ANTA serta Panpan Food. Pensyarah pengiring juga diberi peluang membuat perkongsian ilmu dalam bidang Bahasa Inggeris dengan pelajar-pelajar QVTU melalui kuliah yang dikendalikan oleh mereka mengikut silibus yang ditetapkan oleh pihak QVTU.
Selain itu, mereka juga mengikuti lawatan akademik ke Jinjiang Experience Hall, Wudian City Traditional Block, Quanzhou Shaolin Monastery dan Minnan Culture Preservation and Inheritance Centre. Kesemua tempat ini merupakan tempat tarikan pelancong yang memberi pendedahan kepada masyarakat luar untuk lebih mengenali Quanzhou dan negara China secara amnya. Delegasi UiTMCK diberi peluang untuk berkongsi budaya negeri Kelantan dan negara Malaysia dalam program International Food & Culture Festival melalui hidangan nasi ulam budu, ayam percik, serta bubur jagung sagu.
Program selama tujuh hari berakhir dengan majlis penutupan gilang gemilang oleh pihak QVTU. Semoga kerjasama dapat diteruskan lagi pada masa akan dan pengalaman seperti ini dapat dikongsikan dengan lebih ramai pelajar UiTMCK.
Penyedia Laporan:
Puan Rohazlyn Rosly
Pensyarah Kanan
Akademi Pengajian Bahasa
UiTM Cawangan Kelantan

