Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Serlah Keunggulan Kreativiti di Pentas Antarabangsa SIAPFEST 2025

Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Serlah Keunggulan Kreativiti di Pentas Antarabangsa SIAPFEST 2025

INDONESIA, 6 November – Fakulti Bahasa dan Seni, Universitas Negeri Semarang (UNNES) telah menganjurkan “Semarang International Aquarelle Painting Festival” (SIAPFEST #2 2025) yang berlangsung di B9 Gallery, Universitas Negeri Semarang, Indonesia pada 25 Oktober 2025. Pameran berprestij ini menghimpunkan pelukis dan pereka seni dari pelbagai negara dalam usaha meraikan kreativiti serta mengangkat estetika seni cat air di pentas global.

Edisi kedua SIAPFEST ini membawa tema “Flowing Emotions, Untouched by Machines” atau “Echoes of Humanity in Watercolor”, yang menelusuri persoalan tentang keaslian ekspresi manusia dalam era dominasi kecerdasan buatan (AI). Melalui medium cat air yang bersifat spontan, organik, dan penuh emosi, para peserta menzahirkan keindahan yang tidak dapat ditiru oleh teknologi dalam menyampaikan getaran rasa, tenaga peribadi, serta nilai kemanusiaan yang lahir daripada sentuhan insan.

Pameran berprestij ini turut memperlihatkan kolaborasi antarabangsa antara Universitas Negeri Semarang dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan, khususnya Fakulti Seni Lukis & Seni Reka. Kolaborasi ini bukan sahaja membuka ruang dialog kreatif rentas sempadan, malah memperkukuh jaringan akademik dan profesional antara institusi pendidikan tinggi dalam bidang seni visual.

Dalam pameran kali ini, UiTM Cawangan Kelantan melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila hasil karya ilustrasi pensyarah, alumni dan pelajar daripada Fakulti Seni Lukis & Seni Reka telah berjaya menembusi peringkat antarabangsa. Hasil karya pensyarah yang terpilih adalah Cik Roziani Mat Nashir@Mohd Nasir dengan karya bertajuk Ruh di Balik Bayang, Puan Nurin Elani Makrai dengan Flavours of Healing, Puan Nur Fatiyah Roslan melalui karya My Fiest, Puan Aneeza Mohd Adnan dengan Shadow of Heritage dan Puan Rohaizan Mohd Nasir dengan karya Ulam Kampung. Setiap karya yang dihasilkan menggambarkan nilai keaslian, keindahan budaya tempatan, serta interpretasi estetik yang mendalam terhadap tema kemanusiaan.

Seorang alumni daripada Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Encik Mohamad Nazri Abd Ghani turut menyerlah melalui penyertaan karyanya yang bertajuk Between Human and Time yang mencerminkan kematangan artistik hasil didikan dan pengalaman kreatif di UiTM Cawangan Kelantan. Sementara itu, dua bakat muda, pelajar daripada Jabatan Seni Reka Grafik dan Media Digital, Saudari Nur Husna Damia Jamil Asmawee dan Saudari Nuraisha Irdina Mohd Henamsah, telah berjaya mengharumkan nama institusi apabila karya mereka dipilih untuk dipamerkan bersama artis antarabangsa lain.

Penyertaan ini membuktikan bahawa UiTM Cawangan Kelantan terus memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi kreatif yang berfikiran global tetapi berjiwa tempatan. Pameran SIAPFEST #2 2025 bukan sahaja menjadi ruang apresiasi seni cat air, tetapi juga medan memperkukuh hubungan akademik, memperluas jaringan profesional, dan menonjolkan bakat kreatif warga UiTM di persada antarabangsa. 

Penyedia Laporan:
Saudari Nur Husna Damia Jamil Asmawee
Pelajar
Fakulti Seni Lukis & Seni Reka

Saudari Nuraisha Irdina Mohd Henamsah
Pelajar
Fakulti Seni Lukis & Seni Reka

Cik Roziani Mat Nashir@Mohd Nasir
Pensyarah
Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka
UiTM Cawangan Kelantan