MADINAH, 6 November – Persidangan antarabangsa mengenai Perniagaan, Inovasi, STEM dan Sains Sosial (International Conference on Business, Innovation, STEM and Social Sciences - ICBISS 2025) telah berlangsung dengan jayanya pada 9 hingga 10 September 2025 di Madinah. Persidangan berprestij ini berjaya menghimpunkan penyelidik, ahli akademik serta profesional industri dari seluruh dunia.
Penganjuran ini merupakan kerjasama antara Fakulti Pengurusan dan Perniagaan serta Malaysian Academy of SME & Entrepreneurship Development (MASMED) UiTM Cawangan Kelantan bersama rakan strategik antarabangsa iaitu Taibah University, University of Prince Mugrin, Effat University, PERSADA Madinah serta Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh. ICBISS 2025 diadakan bersempena Future Tourism Leadership Programme (FTLP 2025) yang berlangsung dari 8 hingga 21 September 2025 merentasi tiga negara iaitu Malaysia, Arab Saudi dan Dubai. Program ini mengangkat mesej utama 'to cultivate Islamic leadership values, cultural diplomacy and ethical tourism awareness through experiential learning in iconic Islamic tourism destinations'.
Dengan tema “Converging Minds: Integrating Business, Education, STEM & Society for Global Impact”, ICBISS 2025 menjadi wadah penting bagi perkongsian hasil penyelidikan terkini, perbincangan metodologi inovatif, serta penerokaan solusi baharu terhadap cabaran global dalam bidang pendidikan, teknologi, perniagaan dan sains sosial.
Persidangan ini turut menampilkan tokoh ilmuwan terkemuka sebagai pembentang utama (keynote speakers), antaranya Profesor Dr. Noordin Othman dari Universiti Taibah, Dr. Halida Haziaton Mohd Noor, Profesor Madya Dr. Zuriani Ahmad Zulkarnain serta Dr. Zurina Ismail dari UiTM Shah Alam dan UiTM Cawangan Kelantan.
UiTM Cawangan Kelantan menyerlah melalui kehadiran delegasi akademiknya yang terdiri daripada Dr. Raihana Mohd Noor, Puan Norsilawati Hassan, Dr. Rosfatihah Che Mat, dan Encik Wan Yusrol Rizal W. Yusof dan Puan Siti Sarah Mohamad. Penyertaan aktif ini membuktikan keupayaan UiTM Cawangan Kelantan memperkukuh jaringan kerjasama akademik antarabangsa sekali gus mengangkat reputasi universiti di pentas global.
Majlis penutupan rasmi disempurnakan oleh Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Profesor Dr. Mohd Afandi Mat Rani. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penganjuran ICBISS 2025 telah memperkukuh kedudukan UiTM sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan inovasi, selain menjadi pemangkin dalam membina jaringan antarabangsa yang memberi impak signifikan kepada masyarakat.
Penglibatan UiTM Cawangan Kelantan dalam FTLP 2025 melalui penganjuran ICBISS 2025 bukan sahaja membuka ruang kolaborasi strategik di peringkat antarabangsa, malah meneguhkan peranan universiti dalam memupuk kepimpinan berteraskan nilai Islam, memperkukuh diplomasi budaya, serta meningkatkan kesedaran terhadap pelancongan beretika di persada dunia.
Penyedia Laporan:
Puan Siti Sarah Mohamad
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
UiTM Cawangan Kelantan

