Mahasiswa UiTM Cawangan Kelantan Serlah Bakat dan Kepimpinan dalam 'University Motivator Competition'

Mahasiswa UiTM Cawangan Kelantan Serlah Bakat dan Kepimpinan dalam 'University Motivator Competition'

MACHANG, 30 Oktober – 'University Motivator Competition' telah menjadi medan penting bagi mahasiswa UiTM Cawangan Kelantan menonjolkan bakat dalam kemahiran komunikasi, kepimpinan serta keupayaan memberi inspirasi kepada orang lain. Program ini dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Cawangan Kelantan sesi 2024/2025 dengan kerjasama Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN), Unit Kepimpinan Pelajar (UKK), Unit Psikologi & Kaunseling (UPK) dan Pembimbing Efektif Rakan Sebaya (PEERS). Pertandingan ini telah berlangsung di Mini Teater UiTM Cawangan Kelantan pada 22 dan 23 Oktober 2025, melibatkan penyertaan ramai mahasiswa daripada pelbagai fakulti.

Program ini menjadi platform utama bagi pelajar menyampaikan mesej-mesej motivasi yang memberi impak positif kepada para penonton sama ada dalam kalangan rakan sebaya, komuniti kampus mahupun masyarakat umum. Sepanjang pertandingan, para peserta diuji melalui beberapa peringkat seperti sesi persembahan, penilaian idea serta keberkesanan penyampaian. Penilaian turut mengambil kira keaslian mesej dan kebolehan peserta dalam menginspirasi khalayak.

Kehadiran YBhg. Dato’ Haji Mohd Aizuddin Mohd Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN), turut menyerikan majlis dan memberikan suntikan semangat kepada peserta. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan pembangunan jati diri serta kemahiran komunikasi berkesan dalam kalangan mahasiswa sebagai persediaan menghadapi cabaran dunia sebenar yang semakin mencabar.

Tema-tema yang diketengahkan dalam pertandingan ini berteraskan isu semasa dan nilai-nilai murni seperti usaha gigih, kejujuran, integriti serta sikap positif, menjadikan program ini bukan sahaja relevan, malah berupaya membentuk mahasiswa yang berfikiran matang dan berdaya saing.

Antara objektif utama program ini ialah memberi peluang kepada pelajar untuk menonjolkan kebolehan dalam memberi motivasi dan berkomunikasi secara berkesan, melatih keyakinan diri ketika berucap di hadapan umum, serta membentuk mahasiswa yang mampu menjadi pemimpin dengan visi dan misi yang jelas terhadap masyarakat.

Kehadiran wakil daripada Yayasan Prihatin Nasional, UKK, UPK dan PEERS turut memeriahkan program dan memberikan sokongan penuh terhadap matlamat pertandingan. Barisan juri profesional juga berkongsi pandangan serta maklum balas yang membina bagi meningkatkan kualiti penyampaian peserta.

Secara keseluruhannya, 'University Motivator Competition' bukan sahaja mengasah bakat kepimpinan dan komunikasi mahasiswa UiTM, malah menyokong pelaksanaan 'Sustainable Development Goals (SDG)' khususnya SDG 4 (Quality Education) dan SDG 16 (Peace, Justice and Strong Institutions). Program ini juga memenuhi keperluan pembangunan pelajar di bawah elemen PI029 (Leadership Programme) dan PI031 (Communication Skill Related Programme).

Majlis penutupan yang diadakan pada 23 Oktober 2025 disempurnakan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang serta ucapan penghargaan kepada peserta dan urus setia. Para peserta pulang dengan semangat baharu serta pengalaman berharga dalam bidang motivasi, kepimpinan dan komunikasi berimpak tinggi yang seiring dengan aspirasi UiTM untuk melahirkan mahasiswa berpersonaliti unggul dan berkepimpinan.

Penyedia Laporan:
Saudara Amir Azri Othman
Setiausaha Agung
Majis Perwakilan Pelajar
UiTM Cawangan Kelantan