MACHANG, 30 Oktober – Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK) telah berjaya menganjurkan Program Navigating Your Accounting Journey with Faculty of Accountancy 4.0 pada 25 Oktober 2025 bertempat di Dewan AUD 300, UiTM Cawangan Kelantan. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama MARA University of Technology Accountancy Society (MUTAC), Members of Bachelor’s in Accountancy Society (MemBACCs), dan Unit Kerjaya dan Kaunseling UiTMCK.
Program ini merupakan satu inisiatif khas yang bertujuan membantu pelajar baharu Fakulti Perakaunan menyesuaikan diri dengan suasana universiti, mengenali rakan baharu, serta mendapatkan pendedahan awal mengenai perjalanan akademik sebagai pelajar perakaunan di UiTM. Edisi kali ini telah menghimpunkan seramai 222 orang peserta, terdiri daripada 115 orang pelajar Diploma Perakaunan (AC110) dan 107 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (AC240).
Antara pengisian utama termasuk Slot 1: Pengurusan Masa oleh Cik Siti Nor Adawiah Hussin, Slot 2: How to Become A+ Students Holistically oleh Puan Ros Amalina Zakaria, dan Slot 3: Exploring the Depths of Emotion oleh Puan Zainab ‘Izzah Mahmud dari Unit Kerjaya dan Kaunseling. Pelajar turut menunjukkan bakat dan kreativiti melalui aktiviti Accounting Creative Commercial Pitch yang dikendalikan oleh Dr. Nik Zam Nik Wan.
Program diakhiri dengan Amanat Ketua Pusat Pengajian daripada Dr. Nik Zam Nik Wan, yang menekankan kepentingan disiplin, integriti dan semangat belajar tinggi dalam menempuh dunia akademik. Majlis penutupan turut diserikan dengan tayangan montaj dan penyampaian hadiah kepada kumpulan terbaik.
Antara keistimewaan program kali ini ialah pengenalan slot baharu Accounting Creative Commercial Pitch, yang menggantikan aktiviti permainan semester sebelumnya. Melalui slot ini, para pelajar berpeluang mengasah kemahiran komunikasi, keyakinan diri, serta keupayaan membentangkan idea secara kreatif dan profesional, selaras dengan keperluan pelajar perakaunan masa kini yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut memiliki kemahiran insaniah yang tinggi.
Program turut diserikan dengan kehadiran barisan pensyarah Fakulti Perakaunan iaitu Dr. Nik Zam Nik Wan, Cik Siti Nor Adawiah Hussin, Puan Ros Amalina Zakaria dan Puan Syuhaila Razak, diikuti kehadiran Saudara Muhammad Ariff Aiman Ahmad Fauzi, Exco Jabatan Kebajikan dan Khidmat Mahasiswa, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Cawangan Kelantan. Kehadiran mereka memberi peluang kepada pelajar baharu untuk berinteraksi secara langsung dengan tenaga pengajar serta pimpinan pelajar universiti.
Secara keseluruhannya, Navigating Your Accounting Journey with Faculty of Accountancy 4.0 berjaya mencapai objektif penganjuran dengan memberi impak positif terhadap motivasi, keyakinan dan semangat pelajar baharu Fakulti Perakaunan UiTMCK untuk melangkah ke fasa pengajian dengan lebih yakin dan profesional.
Penyedia Laporan:
Saudari Wan Adawiyah Solehah Wan Razali
Setiausaha Program
Navigating Your Accounting Journey with Faculty of Accountancy 4.0

