Program Bengkel Gapai A: Inisiatif Kecemerlangan Seni Visual STPM, SMK Kuala Besut Bersama UiTM Cawangan Kelantan

MACHANG, 28 September - Program Bengkel Gapai A, Seni Visual STPM antara SMK Kuala Besut bersama UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) telah diadakan pada 24 hingga 25 September 2025. Bengkel ini mendapat kerjasama dari Jabatan Seni Halus dengan penglibatan dari kalangan tenaga pensyarah dan pelajar.

Bengkel seni visual bertujuan untuk membina keyakinan kepada peserta betapa pentingnya mendalami kemahiran dalam melukis bukan sebagai satu keperluan peperiksaan semata, malah meliputi cara hidup, kehendak serta peka dan sedar kreativiti sebagai satu kelebihan apabila menguasainya. Perkara utama dalam mendalami ilmu melukis adalah memahami asas melukis dengan baik melalui unsur seni seperti garisan, rupa bentuk, warna, tekstur, nilai, dan ruang serta prinsipnya seperti harmoni, kontra, penegasan, imbangan, irama dan pergerakan, kepelbagaian serta kesatuan.

Seramai 108 orang peserta serta diiringi 18 orang guru yang terlibat telah diberikan pendedahan dan memperoleh pengalaman berguna. UiTM Cawangan Kelantan sebagai sebuah institusi akademik seni yang tersohor merealisasikan program bengkel ini dalam pelbagai bentuk latihan, demostrasi, ceramah, aktiviti dalam kumpulan dan program apresiasi bertujuan untuk memberi pendedahan, berkongsi pengetahuan serta pengalaman melalui kemahiran melukis.

Pengisian-pengisian aktiviti adalah selari dengan sukatan pelajaran KPM. Tanggungjawab dan komitmen ini telah disampaikan oleh penceramah serta pensyarah dalam bidang kepakaran masing-masing, dimulakan oleh ceramah bertajuk Literasi Maklumat oleh Ketua Perpustakaan UiTMCK, Puan Nordelina Zulkarnain, Pengenalan Asas Lukisan disampaikan oleh Encik Mohd Faizal Ramli, Aplikasi Teknik dan Kualiti Garisan disampaikan oleh Puan Siti Safura Zahari, Struktur Bentuk Geometrik dan Organik oleh Puan Wan Soliana Wan Md Zain, Asas Kaedah Mengukur dan Perkadaran Ruang oleh Dr. Mohd Adzman Omar serta Lukisan Struktur still-life serta Komposisi disampaikan oleh Dr. Sarman Mohamad. Program turut dibantu oleh 2 mahasiswa UiTMCK sebagai fasilitator.

Secara keseluruhannya program 2 hari ini mencapai matlamat dan sangat berjaya melalui perancangan program-program yang menarik, impaknya dapat memupuk nilai kerjasama, disiplin dan tanggungjawab di samping mengeratkan hubungan baik UiTM Cawangan Kelantan dengan SMK Kuala Besut. Menariknya, pendedahan melalui perkongsian cara melihat, memahami dan menghasil merupakan garapan modul yang holistik dapat mempertingkatkan skil pelajar STPM dari semester 1 dan semester 3 ini. UiTMCK telah menyumbang kepada penyampaian program keilmuan secara tuntas manakala pihak SMK Kuala Besut mendapat manfaat percambahan kemahiran serta maklumat kebolehpasaran pelajar.

Terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini. Program ini boleh dikembangkan serta diperluaskan kepada sekolah-sekolah, institusi-insttusi di bawah seliaan KPM melalui JPN, PPD serta KPT agar lebih ramai pelajar dan komuniti akan menerima manfaat dari penganjurannya.

Penyedia Laporan:
Dr. Sarman Mohamad
Pensyarah Kanan
Fakulti Seni Lukis & Seni Reka

Dr. Mohd Adzman Omar
Pensyarah Kanan
Fakulti Seni Lukis & Seni Reka

Encik Mohd Faizal Ramli
Pensyarah Kanan
Fakulti Seni Lukis & Seni Reka

Puan Wan Soliana Wan Md Zain
Pensyarah Kanan
Fakulti Seni Lukis & Seni Reka

Puan Siti Safura Zahari
Pensyarah Kanan
Fakulti Seni Lukis & Seni Reka

Puan Nordelina Zulkarnain
Ketua Pustakawan
Perpustakaan Tengku Anis

UiTM Cawangan Kelantan