Empat Dekad Keunggulan: Alumni Fakulti Perakaunan UiTMCK Kembali Bersatu

MACHANG, 28 September - Sempena Sambutan 40 Tahun UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK), Fakulti Perakaunan dengan sokongan Persatuan Alumni UiTM Cawangan Kelantan (PAUK) telah berjaya menganjurkan Majlis Makan Malam Alumni Fakulti Perakaunan UiTMCK 2025, yang mendokong tema induk sambutan kali ini iaitu “Empat Dekad Keunggulan: Mencorak Legasi, Membina Generasi”. Majlis penuh meriah ini telah berlangsung pada 13 September 2025 di Dewan Profesional, UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK).

Majlis ini diadakan buat julung-julung kalinya dengan objektif untuk menghimpunkan alumni Fakulti Perakaunan dari tahun 1985 hingga 2025, memperkukuh jalinan ukhuwah dengan pensyarah, serta membuka ruang kolaborasi strategik dalam bidang akademik, industri dan pembangunan pelajar. Majlis ini dimeriahkan dengan kehadiran lebih 100 tetamu, terdiri daripada alumni, pensyarah Fakulti Perakaunan, pensyarah yang telah bersara, serta AJK pelajar yang membantu menjayakan penganjuran.

Kehadiran alumni seramai 41 orang mencatat sejarah kerana bukan sahaja melibatkan graduan kampus Machang, tetapi juga alumni dari kampus lama di Kem Kijang, sekali gus membuktikan ikatan persaudaraan yang terus utuh merentasi generasi. Antara alumni yang hadir termasuk mereka yang kini berkhidmat dalam jawatan penting seperti Senior Manager, Group Internal Audit di Petronas, Area Manager Bank Simpanan Nasional (BSN), pegawai di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pegawai di Permodalan Kelantan Berhad dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), juruaudit profesional dari firma-firma audit terkemuka, serta pengurus kewangan dalam sektor komersial.

Kehadiran 10 orang pensyarah Fakulti Perakaunan yang juga merupakan alumni UiTMCK turut menyerikan majlis, menzahirkan jalinan erat antara pensyarah dan graduan yang pernah diasuh mereka. Berlatarkan tema pakaian Arabian Night, suasana majlis berlangsung penuh nostalgia dan kemesraan. Para alumni berpeluang mengimbau kenangan, bertemu kembali rakan seperjuangan serta pensyarah, selain berkongsi pengalaman kerjaya masing-masing. Malam itu turut diserikan dengan persembahan khas, cabutan bertuah, serta sesi penghargaan kepada alumni yang hadir.

Majlis makan malam ini turut mencatatkan satu detik bersejarah dan penuh emosi apabila Dr. Siti Haliza Asat, pensyarah Fakulti Perakaunan yang bakal bersara pada awal Oktober nanti, diraikan secara khas dalam satu acara kemuncak. Sambutan ini diatur sebagai satu kejutan, yang bukan sahaja menyentuh hati beliau, malah turut mengundang rasa sebak dalam kalangan rakan pensyarah dan alumni yang pernah menjadi anak didiknya. Sorakan gemuruh, tepukan penuh penghargaan, dan suasana penuh kasih sayang pada malam itu membuktikan betapa besar jasa beliau dalam membentuk generasi demi generasi warga UiTMCK sepanjang perkhidmatan cemerlangnya.

Kejayaan penganjuran majlis ini adalah hasil usaha gigih AJK Fakulti Perakaunan UiTMCK yang diketuai oleh Ketua Pusat Pengajian, Dr. Nik Zam Nik Wan, dengan kerjasama erat Persatuan Alumni UiTM Cawangan Kelantan (PAUK). Majlis ini telah disempurnakan dengan perasmian oleh Rektor UiTMCK, Profesor Dr. Mohd Afandi Mat Rani, yang menzahirkan rasa bangga atas sokongan berterusan alumni dalam mengangkat nama UiTM. Secara keseluruhannya, majlis ini berjaya mengukuhkan jaringan ukhuwah antara alumni dan fakulti, selain menjadi platform untuk mengukir legasi baharu dalam menyokong kecemerlangan UiTMCK untuk generasi akan datang.

Penyedia Laporan:
Dr. Nik Zam Nik Wan
Ketua Pusat Pengajian
Fakulti Perakaunan
UiTM Cawangan Kelantan