Malam Wayang Pacak bersama JPNR

MACHANG, 19 Ogos - Jawatankuasa Perwakilan Non-Resident (JPNR) UiTM Cawangan Kelantan telah berjaya menganjurkan Program Malam Wayang Pacak pada 6 Julai 2025 (Ahad), jam 8.00 malam hingga 11.00 malam bertempat di Padang Kompleks Sukan B, UiTMCK. Program ini diadakan sebagai usaha memperkenalkan kembali tradisi tayangan filem terbuka atau wayang pacak yang suatu ketika dahulu menjadi hiburan utama masyarakat setempat.

Selain memberi peluang kepada mahasiswa untuk menikmati hiburan santai bersama rakan-rakan, penganjuran ini juga menjadi inisiatif untuk membantu mengurangkan tekanan belajar serta mengeratkan hubungan sesama pelajar. Suasana program berlangsung meriah dengan penyertaan seramai 376 orang mahasiswa yang hadir memenuhi padang bagi menyaksikan tayangan tersebut. Selain itu, aktiviti keusahawanan turut diadakan dan berjaya mencatatkan hasil jualan kasar sebanyak RM602.00.

Secara keseluruhannya, Malam Wayang Pacak bukan sekadar sebuah program hiburan, malah berjaya mencapai objektif dalam membina semangat kebersamaan, menghidupkan kembali nilai tradisi lama, serta memberi ruang kepada pelajar untuk mengasah bakat dalam aspek keusahawanan. Program ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang dengan pengisian yang lebih pelbagai dan menarik.

Penyedia Laporan:
Saudara Tuan Muhammad Isma Alif Tuan Azmi
Setiausaha Program