Festival Seni Cetakan Tekstil 'Print With Nature'

Festival Seni Cetakan Tekstil 'Print With Nature'

MACHANG, 19 Ogos - Festival Seni Cetakan Tekstil 'Print With Nature' merupakan salah satu program untuk meningkatkan apresiasi seni terhadap alam semula jadi dalam penghasilan karya melalui teknik cetakan sutera saring. Program ini adalah anjuran dari Jabatan Seni Reka Tekstil, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) dengan kerjasama Perpustakaan Tengku Anis (PTA) yang berlangsung pada 25 Jun - 31 Ogos 2025. Pameran ini teIah dirasmikan oIeh Profesor Dr. Mohd Afandi Mat Rani, Rektor UiTM Cawangan KeIantan bersama-sama dengan kehadiran ahIi JKEN UiTM Cawangan KeIantan dan tetamu jemputan seIaku penceramah iaitu Encik Mohd Azwarin Ahmed (Penggiat Seni Telepuk/Alumni FSSR UiTMCK 1999-2005).

Festival ini telah berlangsung dengan beberapa pengisian aktiviti yang melibatkan pelajar, pensyarah dan juga jemputan dari luar. Antaranya ialah Bengkel Cetakan Sutera Saring untuk persediaan penghasilan karya pameran, Pameran Karya Seni Cetakan, demontrasi cetakan seni kreatif, sesi perkongsian ilmu bersama jemputan sekolah dan Kolej Vokasional serta Bengkel 'Eco Print' bersama Unit Kampus Hijau UiTM Cawangan Kelantan. Pameran Karya Seni Cetakan yang bertempat di Perpustakaan Tengku Anis (PTA) telah disertai oleh 41 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah, staf dan pelajar dari UiTM Cawangan Kelantan.

Pameran yang berlangsung selama dua bulan ini dapat memberi persepsi dan suasana baharu melalui elemen alam semulajadi di dalam sebuah perpustakaan. Penghasilan karya peserta ini telah divisualisasikan melalui program Bengkel Cetakan Sutera Saring yang diadakan di Bengkel Jabatan Seni Reka Tekstil pada 14 dan 16 Jun 2025. Mereka telah mencurahkan idea dan hasil seni kreatif melalui pendekatan cetakan berasaskan dedaun, bunga, ranting, dan pelbagai tekstur organik di bawah bimbingan fasilitator.

'Print With Nature' bukan sekadar pameran seni cetakan tekstil malah ia adalah sebuah perjalanan visual dan deria yang mengangkat alam semula jadi sebagai kolaborator utama dalam proses penciptaan. Para peserta mencungkil potensi alam bukan hanya sebagai sumber bentuk, tetapi sebagai naratif yang hidup dan terus berbicara.

Dalam dunia yang semakin menjauh daripada akar ekologinya, pameran ini menjadi ruang kontemplatif di mana permukaan fabrik menjadi tapak dialog antara manusia dan persekitarannya. Corak-corak yang dihasilkan bukan sahaja mencerminkan keindahan visual, tetapi juga mengandungi isyarat terhadap kelestarian, kehilangan, dan keperluan untuk menyatu kembali dengan alam. Melalui karya-karya ini, cetakan bukan lagi semata-mata teknik mekanikal, tetapi satu tindakan menyentuh, menghayati dan merekod kehadiran alam secara langsung. Ia adalah sebuah seni yang lahir dari hubungan antara tangan, bahan dan bumi.

'Print With Nature' menunjukkan komitmen Jabatan Seni Reka Tekstil (FSSR) terhadap pendekatan pendidikan yang menyatu nilai estetik, ekologi dan ekspresi kontemporari. Pameran ini mengajak setiap pengunjung sama ada pelajar, pendidik mahupun masyarakat luar untuk memperlahankan langkah, meneliti corak yang kadang kala tidak terlihat, dan mendengar semula suara halus alam yang tercetak pada fabrik kehidupan kita.

Penyedia Laporan:
Encik Mohd Bakeri Ab Rahman
Puan Aneeza Mohd Adnan

Penyunting:
Encik Hamdan Hj Lias
Puan Anis Ediana Mohd Fauzi

Dokumentasi:
Puan Zainab Anuar
Encik Adib Mohd Hasan

Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka
UiTM Cawangan Kelantan