Zon Timur Muncul Juara Pertandingan War Cry Bersempena Festival Kepenggunaan Peringkat Kebangsaan 2025

SABAH, 21 Julai - Festival Kepenggunaan 2025 Peringkat Kebangsaan dijalankan pada 10 hingga 14 Julai 2025 bertempat di International Technology & Commercial Centre (ITCC), Penampang, Sabah. Program ini merupakan sebuah pertandingan yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) saban tahun. Program ini melibatkan pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan komuniti awam. UiTMCK menghantar 10 orang ahli kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS), UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) bersama seorang pegawai pengiring merangkap jurulatih pasukan War Cry Zon Timur dalam Pertandingan War Cry bersempena Festival Kepenggunaan 2025.

Pertandingan ini dianjurkan untuk memupuk semangat berpasukan dan kerjasama antara negeri-negeri di dalam zon tersebut. Seterusnya, pertandingan ini dapat mendorong kreativiti serta inovasi daripada peserta untuk melakukan persembahan yang dapat menarik perhatian orang ramai. Tambahan lagi, pertandingan ini juga dapat menghubungkan komuniti pengguna dari pelbagai latar belakang.

Selain itu, Festival Kepenggunaan 2025 ini memberi peluang kepada ahli kelab GPS UiTMCK untuk mengenali dan mengeratkan hubungan bersama ahli GPS daripada institusi pengajian tinggi yang lain. Antara institusi pengajian tinggi yang terlibat bersama UiTMCK dalam mewakili Zon Timur ialah UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Dato’ Razali Ismail, Terengganu dan UNITAR International University, Pahang.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB. Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. Petandingan ini disertai oleh 5 zon dari seluruh Malaysia, iaitu Zon Timur, Zon Tengah, Zon Utara, Zon Selatan dan Zon Sabah. Meskipun berdepan dengan persaingan yang sengit daripada zon lain, ahli kelab GPS UiTMCK berjaya meraih tempat pertama dalam pertandingan War Cry. Kemenangan ini sekali gus menebus kekecewaan pasukan War Cry Zon Timur yang hanya menduduki tempat ketiga di Ipoh, Perak pada tahun lalu.

Terdapat pertandingan lain yang telah dianjurkan oleh KPDN bersempena Festival Kepenggunaan 2025. Antaranya ialah pertandingan Bicara Berirama (SK Tembila), Sketsa Muzikal (SMK Tanah Merah 1) dan Battle of the Buskers (UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka). Zon Timur berjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan Bicara Berirama dan Sketsa Muzikal serta tempat kelima bagi pertandingan Battle of the Buskers.

Pertandingan ini memberi impak besar kepada pelajar kerana dapat meningkatkan keyakinan diri bahkan secara tidak langsung juga mengangkat nama UiTMCK dalam program peringkat kebangsaan. Tambahan lagi, pelajar dapat menanam nilai kepenggunaan dalam diri. Pertandingan ini juga menyumbang kepada pembangunan sahsiah dan profesionalisme pelajar.

Pihak GPS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur atas inisiatif menganjurkan pertandingan yang telah memberikan kesan positif kepada seluruh komuniti. Terima kasih juga diucapkan kepada KPDN Kelantan kerana memberi peluang dan kepercayaan untuk mengetuai kumpulan War Cry Zon Timur. Pihak GPS berasa amat bertuah dapat mengambil bahagian dalam program yang bermanfaat ini dan berharap dapat turut serta lagi pada masa akan datang. Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada pihak UiTM atas sokongan padu yang diberikan sepanjang penyertaan ini.

Penyedia Laporan:
Saudari Nur Athirah Amanina Zulkifli
Timbalan Presiden
Kelab Gerakan Pengguna Siswa