Mathexpose 2025: Pameran Poster dan Pembentangan Projek Tahun Akhir Pelajar CS249

MACHANG, 21 Julai – Jabatan Sains Matematik, Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) UiTM Cawangan Kelantan telah mengadakan program Mathexpose 2025: Pameran Poster dan Pembentangan Projek Tahun Akhir Pelajar CS249 pada 17 Julai 2025. Projek tahun akhir merupakan salah satu komponen penyelidikan yang berteraskan akademik. Bagi peringkat Sarjana Muda, komponen ini dijalankan secara ringkas dan tidak begitu mendalam, namun cukup jitu bagi membuka ruang persoalan subjektif yang mencabar minda dan menguji kebolehan pelajar-pelajar berfikir secara kritis dan kreatif. Kebolehan deduksi, kemahiran sintesis dan membuat keputusan yang optimal adalah antara objektif yang digarapkan apabila menceburi bidang ini.

Objektif utama pameran ini adalah untuk mempamerkan hasil kerja/ penyelidikan pelajar tahun akhir dan menyediakan platform untuk perbincangan dengan panel penilai dan rakan-rakan pelajar itu sendiri berkaitan bidang kajian yang telah dijalankan. Dengan ini, para pelajar dapat bertukar idea, berkongsi ilmu dan juga dapat menambaih baik hasil kerja masing-masing.

Program ini telah bermula pada pukul 8.00 pagi dengan pendaftaran pelajar semester 6 CDCS249. Pembentangan poster projek tahun akhir diteruskan pada pukul 8.30 pagi sehingga 11.30 pagi yang berlangsung di bilik kuliah D201-D210. Dalam tempoh masa ini, penilai-penilai yang terdiri daripada pensyarah Jabatan Sains Matematik menilai hasil kerja/ penyelidikan pelajar-pelajar CS249.

Tiga kategori telah dipertandingkan untuk pameran kali ini iaitu pembentang terbaik, poster terbaik dan booth terbaik. Juri untuk kategori pembentang terbaik terdiri dari pensyarah-pensyarah Matematik yang terlibat dengan pameran poster ini. Manakala juri untuk kategori Poster dan Booth Terbaik terdiri dari juri jemputan yang merupakan pensyarah-pensyarah dari Jabatan Statistik dan Jabatan Sains Komputer. Seterusnya, majlis penutup yang telah berlangsung di AU100 dimulakan dengan ucapan daripada Koordinator Program CDCS249 iaitu Puan Maziah Mahmud. Majlis penyampaian hadiah juga telah disempurnakan oleh Puan Maziah Mahmud.

Semoga ilmu yang diperolehi dapat dijana ke arah kebaikan UiTM khasnya dan negara amnya.

Penyedia Laporan:
Puan W.Nurfahizul Ifwah W.Alias
Setiausaha Program
Mathexpose 2025