MACHANG, 21 Julai - Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan telah melakar satu lagi kejayaan bermakna melalui penganjuran program Young Bright Explorers, anjuran Members of Bachelor in Accountancy Society (MemBACCs) dengan kerjasama Pertubuhan Cakna Negeri Kelantan, Rumah Anak Yatim Lilbanat Darul Naim Machang, Persatuan Kebajikan Fakulti Perakaunan (AC Care) serta Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan pada 14 Jun 2025.
Program ini berlangsung di dua lokasi utama iaitu di kampus UiTM Cawangan Kelantan dan Rumah Anak Yatim Lilbanat Darul Naim dengan penyertaan seramai 22 orang ahli jawatankuasa dan sukarelawan MemBACCs, serta 20 orang peserta dari Rumah Anak Yatim Lilbanat. Matlamat utama program ini adalah untuk mencapai beberapa Petunjuk Prestasi Institusi (PI029, PI039 dan PI075) yang menekankan aspek kolaborasi strategik, perkongsian ilmu, pembinaan kemahiran insaniah serta pemupukan nilai kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa. Selain itu, ia turut membuka ruang buat para pelajar mempraktikkan kemahiran kepimpinan dan komunikasi melalui aktiviti interaktif serta tugasan berbentuk komuniti.
Antara aktiviti menarik yang dijalankan termasuklah sesi motivasi Money Skills for Life oleh Puan Nurfazilahaini Muhd Hanafi, pensyarah kanan Fakulti Perakaunan UiTMCK, serta aktiviti luar seperti Explorers United, Stronger Together: Explorers in Action!, dan Exploring 1 & 2 yang berjaya mengeratkan hubungan antara mahasiswa dan peserta program. Sebagai tanda keprihatinan dan galakan terhadap pendidikan, Persatuan Kebajikan Fakulti Perakaunan (AC Care) telah menyumbangkan kalkulator saintifik kepada pelajar Tingkatan 5 Rumah Anak Yatim Lilbanat. Manakala, Pertubuhan Cakna Negeri Kelantan (CAKNA) telah menunjukkan sokongan padu dengan menaja hadiah bagi pertandingan Explore race, yang berlangsung meriah dan penuh semangat.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dr. Nik Zam Nik Wan, Ketua Pusat Pengajian Fakulti Perakaunan, manakala Dr. Siti Haliza Asat, Pengerusi AC Care dan penasihat MemBACCs, turut hadir memberikan sokongan.
Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja memperkasa peranan UiTM sebagai institusi prihatin terhadap komuniti, malah membuktikan bahawa mahasiswa hari ini mampu menjadi agen inspirasi yang bukan sahaja cemerlang di bilik kuliah, malah menyumbang bakti di luar tembok universiti.
Penyedia Laporan:
Saudari Insyirah Mohd Zamri
Pengarah Program
Young Bright Explorers