'Talk': Kanser Serviks

MACHANG, 21 Julai - Satu program ceramah kesihatan bertajuk Talk: Kanser Serviks telah berjaya dianjurkan oleh Jawatankuasa Perwakilan Kolej Tun Hussein Onn (JPK THO) dengan kerjasama National Cancer Society of Malaysia (NCSM). Program ini telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 13 dan 14 Jun 2025 dan bertempat di HRD (A) dan Foyer Blok D, UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang bermula jam 8:00 malam hingga 10:30 malam pada 13 Jun 2025 dan 10:00 pagi hingga 3:00 petang pada 14 Jun 2025 serta telah menarik penyertaan lebih daripada 150 orang peserta.

Ceramah ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya kanser serviks dalam kalangan masyarakat, terutamanya wanita muda. Antara pengisian utama ceramah termasuk penerangan mengenai simptom awal, punca-punca, serta langkah pencegahan penyakit ini. Selain itu, program turut menekankan kepentingan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala seperti ujian Pap smear, serta peranan vaksinasi HPV dalam mencegah jangkitan yang boleh membawa kepada kanser serviks.

Program ini mendapat sokongan padu daripada pihak NCSM, dengan kehadiran Dr. Sara Manzoor, Community Health Executive, selaku penceramah jemputan bagi program tersebut. Beliau telah menyampaikan ceramah secara interaktif dan penuh informasi, disusuli dengan sesi soal jawab yang mendapat sambutan hangat daripada para peserta.

Tambahan pula, pihak NCSM turut menyediakan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada para peserta yang ingin mengetahui tahap kesihatan mereka. Inisiatif ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada semua lapisan warga kampus, termasuk staf dan pelajar, sekali gus menunjukkan keprihatinan terhadap penjagaan kesihatan secara menyeluruh.

Secara keseluruhannya, program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Maklum balas yang diterima menunjukkan bahawa para peserta memperoleh banyak ilmu baharu serta lebih sedar akan kepentingan menjaga kesihatan reproduktif. Rata-rata peserta menyatakan harapan agar program sebegini dapat diteruskan secara berkala demi kesejahteraan komuniti kampus.

Penyedia Laporan:
Saudari  Nurarisya Adha Abdul Sharifudin
Pengarah Program
Talk: Kanser Serviks