Program Memperkasa Kesedaran Risiko Dalam Kalangan Belia: Ke Arah Pembentukan Generasi Sifar Dadah

MACHANG, 20 Julai - Program Memperkasa Kesedaran Risiko Dalam Kalangan Belia: Ke Arah Pembentukan Generasi Sifar Dadah telah berjaya dianjurkan oleh Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kelantan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Machang dan Members of Bachelor in Accountancy Society (MemBACCs). Program ini telah dilaksanakan di HRD A, UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang dengan penglibatan seramai 100 orang mahasiswa pada 3 Julai 2025.

Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan dan memperkukuh kefahaman mahasiswa tentang jenis-jenis dadah, faktor risiko penyalahgunaan serta implikasi kesihatan, sosial dan ekonomi akibat gejala tersebut. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman digunakan melalui pengisian seperti ceramah ilmiah, kuiz interaktif secara digital serta aktiviti explore race secara berkumpulan yang menekankan elemen kerjasama dan pemikiran kritis. Ceramah utama telah disampaikan oleh Encik Che Burhan Che Ahmad, Penolong Pegawai AADK Daerah Machang yang memberikan pendedahan menyeluruh berkaitan ancaman penyalahgunaan dadah serta langkah intervensi awal dalam kalangan belia.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Mejar Mohd Rizal Mustaffa Mohd Isa, Penolong Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kelantan. Turut hadir mewakili Rektor UiTM Cawangan Kelantan ialah Profesor Madya Dr. Mohd Nasir Ismail, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, yang turut menyampaikan amanat ringkas kepada para peserta. Kehadiran Dr. Nik Zam Nik Wan, Ketua Pusat Pengajian Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan serta wakil-wakil daripada MKN dan AADK turut menyerikan majlis dan mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuhkan kerjasama antara institusi akademik dan agensi kerajaan dalam menangani isu sosial di peringkat akar umbi.

Dari sudut pembangunan pelajar, program ini berjaya mengasah kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan keprihatinan sosial yang selari dengan aspirasi UiTM dalam melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang dari segi intelek serta emosi. Penganjuran ini juga membuka ruang kolaborasi rentas agensi antara UiTM, MKN dan AADK, yang wajar diperluas ke peringkat negeri dan kebangsaan pada masa akan datang. Ia sekaligus memperkukuh posisi UiTM sebagai institusi yang proaktif dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan negara.

Melalui pengisian yang bersifat interaktif dan praktikal, program ini dilihat mampu menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif pencegahan dadah yang holistik dan berterusan di peringkat kampus. Secara tidak langsung, ia membuktikan bahawa mahasiswa UiTM bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah berperanan aktif dalam membentuk komuniti kampus yang sihat, beretika dan bebas daripada gejala sosial.

Penyedia Laporan:
Saudari Asma’ Mohd Fouzi
Setiausaha Program
Program Memperkasa Kesedaran Risiko Dalam Kalangan Belia