MACHANG, 20 Julai - Program School Attack: Secure Your Future telah dijalankan di SMKA Wataniah, Machang pada 22 Jun 2025. Program ini dirangka khas untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai laluan akademik selepas tamatnya sesi persekolahan, khususnya berkaitan peluang melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi, salah satunya di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Melalui sesi taklimat yang disampaikan oleh Puan Siti Haslini Zakaria, pensyarah UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang, pelajar didedahkan dengan sejarah penubuhan UiTM, peranan universiti tersebut dalam membangunkan pendidikan tinggi negara, serta keistimewaan yang ditawarkan kepada pelajar bumiputera. Pelajar juga telah diberikan maklumat menyeluruh berkaitan program-program pengajian yang ditawarkan di UiTM Cawangan Kelantan, termasuk syarat kelayakan, bidang pengkhususan, dan struktur pengajian.
Selain aspek akademik, program ini turut memberi penekanan kepada perancangan kewangan bagi menyambung pengajian. Pelajar diberi penerangan mengenai peranan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai sumber pembiayaan utama pendidikan tinggi. Dalam sesi ini, pelajar dapat memahami cara permohonan pinjaman, tanggungjawab sebagai peminjam, serta kepentingan membuat keputusan bijak dalam mengurus kewangan pendidikan sejak dari awal.
Bagi memperkukuh semangat dan motivasi pelajar, program ini turut diselitkan dengan slot motivasi yang dikendalikan oleh Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Kelantan. Slot ini bertujuan untuk menyuntik inspirasi, membina keyakinan diri, serta memberi dorongan kepada pelajar agar terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam akademik dan kehidupan mereka.
Secara keseluruhan, program ini merupakan usaha penting bagi membantu pelajar mengenali pilihan yang ada dalam dunia pendidikan tinggi, memahami kepentingan perancangan kewangan, serta membina kekuatan dalaman bagi menghadapi fasa kehidupan yang lebih mencabar selepas tamat zaman persekolahan. Ilmu tersebut diharapkan dapat membuka minda pelajar, memberi pencerahan serta membantu mereka membuat keputusan yang lebih bijak dan tersusun dalam merancang masa hadapan kelak.
Penulis Laporan:
Saudari Ainnina Iman
Pengarah Program
School Attack: Secure Your Future