MACHANG, 30 Jun – Bertempat di Dewan Profesional UiTM Cawangan Kelantan, Program Usahawan Digital 2025 anjuran Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dengan kerjasama MASMED dan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) telah berlangsung dengan penuh semangat dan jayanya. Program ini mendapat tajaan eksklusif daripada Maybank Islamic Berhad, selaku rakan strategik dalam membangunkan potensi keusahawanan digital dalam kalangan mahasiswa. Majlis ini telah dirasmikan oleh Encik Mat Zamri Hassan, Ketua, Prestasi Perniagaan & Produktiviti, Maybank Wilayah Pahang, Kelantan & Terengganu, yang hadir mewakili Maybank Islamic Berhad sebagai penaja utama. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Profesor Dr. Mohd Afandi Mat Rani, Rektor UiTM Cawangan Kelantan; Encik Mohd Risman Ab Aziz, Pegawai MARA Daerah Machang; Encik Nik Ahmad Kamil Nik Azhar, Pegawai Perhubungan Pendidikan Negeri Kelantan dari Yayasan Pelajaran MARA; serta Encik Shahril Umran Ahmad Mustapha, Pengurus Maybank Cawangan Tanah Merah. Majlis ini turut disertai oleh barisan pengurusan UiTMCK termasuk Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar; Dr. Norzieha Mustapha, Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni; dan Dr. Nur Hazelen Mat Rusok, Koordinator MASMED merangkap Pengarah Program.
Program ini menghimpunkan seramai 225 orang peserta, terdiri daripada:
- Pelajar AC220 Semester 2 (Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian)),
- Pelajar IC210 Semester 2 (Sarjana Muda Muamalat (Kepujian)), dan
- Pelajar CDCS143 Semester 2 (Diploma Sains Matematik).
Program ini bukan sekadar duduk dan dengar, peserta turut dibimbing secara hands-on melalui Latihan Dalam Kumpulan (LDK), pembentangan kreatif dan simulasi perniagaan sebenar yang dikendalikan oleh fasilitator berpengalaman daripada UiTMCK sendiri, termasuk Dr. Nur Hazelen Mat Rusok dari MASMED UiTMCK.
Program ini turut disokong oleh 34 orang fasilitator, yang merupakan gabungan pensyarah serta pelajar UiTM Cawangan Kelantan yang memainkan peranan penting dalam menjayakan pelbagai aktiviti sepanjang program. Sesi LDK memberi pendedahan kepada para pelajar dalam melatih peserta bekerjasama, berfikir secara kreatif dan kritis untuk menghasilkan idea inovatif yang boleh disesuaikan dengan bidang masing-masing. Antara modul menarik yang dikongsikan termasuk Asas Perniagaan dalam Konsep Islam & Konvensional, Zero Marketing, Pengenalan kepada TikTok, serta sesi praktikal mengenai siaran langsung di platform media sosial, copywriting, dan penghasilan kandungan menggunakan Canva dan Capcut. Peserta turut berpeluang menjana idea pemasaran yang kreatif serta memahami strategi perniagaan digital secara langsung.
Program ini membuktikan bahawa gabungan ilmu, teknologi dan bimbingan yang tepat mampu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berani mencipta peluang sendiri. Inilah wajah baharu anak muda Malaysia berdaya saing, berani berniaga, dan celik digital. Program ini berjaya memberi impak positif dalam memperkasakan kemahiran, keyakinan dan jaringan dalam kalangan usahawan pelajar, sejajar dengan matlamat melahirkan generasi usahawan muda yang celik digital dan bersedia bersaing dalam ekonomi masa hadapan. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Maybank Islamic Berhad atas tajaan, serta kepada YPM atas penganjuran program yang memberi impak besar dalam pembangunan keusahawanan pelajar.
Penyedia Laporan:
Ts. Rozita Shamsuddin
Pensyarah Kanan
Fakulti Seni Lukis & Seni Reka
Dr. Nur Hazelen Mat Rusok
Koordinator MASMED
Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Puan Suraya Husin
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan & Perniagaan
Encik Azhar A Aziz
Pensyarah
Fakulti Seni Lukis & Seni Reka