'RISE: Read, Inspire, Seek & Explore'

DUNGUN, 24 Jun – Pelajar semester 5 Diploma Pengurusan Maklumat, Fakulti Sains Maklumat (FSM), UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) telah berjaya menganjurkan Program RISE: Read, Inspire, Seek & Explore dengan kolaborasi bersama pihak Perpustakaan Cendekiawan, UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT) Kampus Dungun, bagi Karnival Perpustakaan 2025, UiTM Cawangan Terengganu, Kampus Dungun, bersempena sambutan ke-50 tahun UiTMCT.

Program ini telah melibatkan seramai 24 orang pelajar semester 5, Diploma Pengurusan Maklumat, FSM, UiTMCK selaku jawatankuasa pelaksana, serta 28 orang peserta daripada Kolej Vokasional Dungun bagi aktiviti Jejak Ilmu: Explorace. Program ini telah dirasmikan oleh Encik Shahrol Nizam Johol selaku Timbalan Ketua Pustakawan, merangkap Ketua Bahagian, Perpustakaan Cendekiawan, UiTMCT. Turut hadir menyerikan majlis penutup Jejak Ilmu: Explorace adalah Cik Asmahani Abdullah selaku Pustakawan Kanan, Perpustakaan Cendekiawan, UiTMCT, 3 orang wakil guru Kolej Vokasional Dungun dan Puan Noor Azreen Alimin selaku pensyarah pengiring merangkap Penasihat Program bagi Program RISE. Selain itu, program ini merupakan program SULAM di bawah kod kursus IMD317: Outreach Programs of Information Agencies.

Program ini berkonsepkan “Literasi Maklumat” dan “Kerjasama dalam Kumpulan” yang bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada peserta tentang cara memahami, mencari dan menggunakan maklumat yang diberikan dengan sumber yang betul dan sesuai. Melalui aktiviti yang dijalankan, peserta turut diberikan pendedahan berkaitan pengurusan maklumat di perpustakaan. Antaranya ialah memperkenalkan peserta kepada asas pengkategorian maklumat, jenis literatur, serta penjanaan petikan. Dengan pendedahan ini, diharapkan para peserta bukan sahaja lebih berkeyakinan dalam menguasai literasi maklumat dan pengurusan sumber, malah mampu mengaplikasikan kemahiran ini dalam tugasan akademik, penyelidikan, serta pembelajaran. Selain itu, pengalaman berinteraksi dan bekerjasama dalam pasukan diharapkan dapat memupuk semangat kerja berpasukan, memantapkan komunikasi berkesan, dan melahirkan individu yang lebih proaktif dan bertanggungjawab dalam perkongsian maklumat.

Program diteruskan dengan sesi istimewa Bicara Sejarah (EKSKLUSIF) bertajuk Menyelusuri Sejarah Awal Penubuhan UiTMCT yang disampaikan oleh Puan Marlizaton Omar, isteri kepada Allahyarham Tuan Haji Mutalib Ismail, Mantan Timbalan Pengetua Institut Teknologi MARA (ITM) Dungun. Sesi tersebut berlangsung di sudut AZKA @ Library Community Engagement (LCE) dan turut dihadiri oleh warga UiTMCT serta mantan staf kampus UiTMCT.

Secara keseluruhannya, Program RISE: Read, Inspire, Seek & Explore yang telah dianjurkan di Perpustakaan Cendekiawan, UiTMCT mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada warga UiTMCT dan para peserta. Program ini bukan sahaja berjaya memberi pendedahan kepada peserta, tetapi turut membuka ruang untuk mereka mempelajari sesuatu yang baharu. Justeru itu, program ini telah memberikan impak yang positif kepada pelajar semester akhir Diploma Pengurusan Maklumat UiTMCK terutamanya dalam membina jalinan kerjasama antara UiTMCK, UiTMCT, dan Kolej Vokasional Dungun.

Penyedia Laporan:
Saudari Nur Amni Amirah Mohd Manzul
Setiausaha
Program RISE: Read, Inspire, Seek & Explore